Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa kerajaan BN sekarang berhasrat untuk menggunakan sepenuhnya mandat lima tahun untuk berkhidmat kepada rakyat selepas memenangi pilihan raya tahun 2008.

Beliau menegaskan demikian ketika ditanya mengenai tarikh pilihan raya umum ke-13 yang ditunggu-tunggu oleh semua pihak.

"Bila kita dipilih rakyat, kita dipilih untuk tempoh lima tahun.

"Jadi dalam masa lima tahun itu amat penting bagi kita untuk

memperlihatkan kemampuan kita untuk mentadbir negara kita dan membawa kemajuan kepada negara kita dan membela untung nasib rakyat," katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam ini..

"Kalau kita buat pilihan raya terlalu awal bererti kita memendekkan tempoh yang rakyat berikan kepada kita," katanya.

Oleh itu, kata perdana menteri, tidak timbul soal BN kurang yakin menghadapi pilihan raya umum akan datang berikutan dakwaan pembangkang yang beliau sengaja melambatkan tarikh pilihan raya itu.

Persoalan mengenai pilihan raya menjadi teka-teki semua pihak khususnya di kalangan parti-parti politik pembangkang.

Terbaru ialah spekulasi mengenai kemungkinan Parlimen dibubarkan selepas selesai bersidang semalam, tetapi sehingga ini, belum menjadi kenyataan.

Sebelum ini, ada pihak, khususnya PAS, yang mendakwa, perdana menteri mungkin mengadakan pilihan raya pada musim haji akan datang.

Ada juga yang berpendapat ia mungkin diadakan awal tahun depan.

Dan kenyataan perdana menteri malam ini, yang BN mahu menggunakan sepenuhnya mandat lima tahun itu, menguatkan lagi spekulasi bahawa pilihan raya umum tidak mungkin diadakan dalam masa terdekat ini.

 

 

ADS