Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta beliau supaya tidak berlengah-lengah untuk bersara daripada politik.

Sebaliknya, dengan nada tegas, Anwar yang juga bekas timbalan perdana menteri meminta bekas bosnya itu "duduk diam-diam sambil menjaga syarikat anaknya".

"Duduk rehat tadi, ada pemberita tanya, Dr Mahathir suruh berhenti sekarang. Saya kata tak apalah. Yang itu biar saya dengan rakyat.

"Kamu Dr Mahathir, duduk diam-diam. Jaga syarikat anak kamu yang berpuluh bilion ringgit. Puluh bilion ringgit. Kalau kamu pemimpin bersih, malu tahu tak, malu.

"Seorang pemimpin, puluh bilion kekayaan anak-anaknya," tegas Anwar kira-kira 2,000 hadirin yang hadir dalam ceramahnya di Selayang malam tadi.

Dr Mahathir dilapor berkata Anwar tidak perlu berlengah-lengah dengan hasratnya untuk bersara daripada dunia politik sekiranya Pakatan Rakyat kalah dalam pilihan raya umum ke-13.

Persoal kenapa Dr M terlalu marah

 

Bahkan dengan nada bergurau, bekas perdana menteri itu mencadangkan supaya diwujudkan jawatan perdana menteri 'terhormat' selama lima hari untuk diisi oleh Anwar bagi memenuhi impiannya sebelum bersara.

Sebelum itu diawal ucapan dalam ceramahnya di Padang Kampung Selayang Indah malam tadi, Anwar mempersoalkan mengapa Dr Mahathir terlalu "marah" kepadanya.

Sedangkan, kata Anwar yang juga ketua pembangkang berkata selama ini, beliau "tidak pernah mengacau" dan telah memaafkan bekas pemimpin nombor satu itu.

"Sudahlah. Yang kena pukul saya, Mahathir, bukan kamu. Yang kena penjara saya, yang kena telanjang saya. Sudahlah, saya dah maafkan.

"(Tetapi) yang kamu takut ini apa. Rupanya, dia takut saya nak rampas harta dia dan anak pinak dia," katanya sambil mengimbau detik-detik perselisihan beliau dengan Dr Mahathir sebelum dipecat daripada kerajaan.

Anwar berkata sekiranya ditakdirkan menjadi perdana menteri, beliau berjanji tidak akan mengkhianati kepercayaan rakyat yang membangkitkan semangatnya sewaktu disakit dan dihina.

Bekas menteri kewangan yang pernah dipenjarakan itu berkata, beliau tahu erti kesusahan rakyat ketika ini.

ADS