Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Hanya musuh gembira dengan kenyataan Nasha'
Diterbitkan:  Aug 15, 2012 12:11 PM
Dikemaskini: 6:34 AM

Pemuda PAS hari ini menggesa bekas presidennya Nasharudin Mat Isa "insaf" daripada mengeluarkan kenyataan yang hanya menguntungkan musuh politik parti Islam itu.

Ketuanya Nasrudin Hassan berkata, jika tidak berpuas hati, Nasharudin harus tampil berbincang dan bukan menurut jejak langkah bekas exco Selangor Datuk Dr Hasan Ali yang dipecat daripada PAS sebelum ini.

NONE "Tiada siapa yang gembira dengan perkembangan ini kecuali musuh politik yang mahu melihat pergolakan berlaku dalam parti.

"Pastinya kesempatan ini akan diambil sepenuhnya oleh musuh politik untuk melemahkan PAS," kata Nasrudin ( atas, berkaca maca ) mengulas kenyataan Nasharudin yang mencadangkan PAS keluar daripada Pakatan jika DAP menentang hudud.

Tindakan anggota parlimen Bachok yang disiarkan oleh TV3 dan Utusan Malaysia itu secara terbuka menolak keputusan parti yang merestui kerjasama politik PKR-DAP-PAS itu, lapor Harakahdaily .

Pemuda PAS Kelantan pula mahu Nasha undur

Sementara itu, Pemuda PAS Kelantan pula mahu tindakan lebih keras dengan menggesa Nasharuddin meletakkan jawatan sebagai anggota parlimen Bachok jika tidak berminat lagi bersama PAS.

azlan "Jika beliau sudah tidak berminat bersama-sama dengan PAS, amatlah wajar untuk beliau meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen Bachok daripada terus menerus mengkhianati amanah yang diberikan oleh rakyat Bachok dalam pilihan raya umum ke-12 yang lalu," setiausahanya Mohd Nuri Mat Yaacob dipetik sebagai berkata.

Dalam kenyataannya yang dihantar kepada Harakahdaily , Mohd Nuri menyatakan perasaan tidak senang terhadap kenyataan Nasharudin ( atas) dalam isu hudud yang antaranya mencadangkan PAS keluar daripada Pakatan Rakyat.

Selepas kekalahannya dalam pemilihan parti sebelum ini, Nasharuddin juga sering dianggap pro-Umno apabila sering dilihat bersama pemimpin parti Melayu itu, termasuk dengan presidennya Datuk Seri Najib Razak di Mekah baru-baru ini.

Pemuda PAS sedikit pun tidak rugi jika individu seperti beliau mengangkat kaki meninggalkan parti, kata Mohd Nuri lagi.

ADS