Lagi kemarahan rakyat S'wak pada TV3, Nurul Syuhada

Bukan sahaja parti pemerintah Sarawak, pembangkang negeri juga hari ini menyuarakan perasaan tidak senang terhadap kenyataan seorang pengacara TV3 yang melabelkan Bintulu sebagai kawasan daif.

Pemuda PAS Sarawak berkata, kenyataan oleh Nurul Syuhada Nurul Ain semasa lintas langsung stesen itu kelmarin " benar-benar mengguris hati rakyat Sarawak".

"Kenyataan spontan mengenai kedaifan Bintulu ini menunjukkan ketidakpedulian pengacara TV3 tersebut, yang juga merupakan seorang wartawan.

"Jika kualiti kewartawanan di TV3 adalah sebegini rendah, tidak hairanlah berita-berita di TV3 setaraf berita kedai kopi, penuh fitnah dan tangkap muat," kata Ketua Pemuda PAS Sarawak Mohd Arifiriazul Paijo.

Semalam, Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) juga dilapor mahu Nurul Syuhada meminta maaf secara terbuka atas kenyataannya itu bagi meredakan kemarahan penduduk.

Pandi berkata, Nurul Syuhada kurang arif mengenai Bintulu sehingga beranggapan Bintulu sebagai daif walhal Bintulu merupakan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dengan hasil gas dan minyaknya.

Tanggapan umum S'wak daif

Bintulu juga bakal menjadi tuan rumah perayaan sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan pada 16 September ini.

Dalam kenyataannya hari ini, Mohd Arifiriazul berkata, hakikatnya, Bintulu, merupakan bandar ketiga terbesar di Sarawak dan merupakan hub industri LNG di Sarawak yang menjadi penyumbang utama pendapatan negara.

"Kami menggesa pihak TV3 memohon maaf atas ucapan semberono pengacara mereka mengenai Bintulu.

"Kami menasihatkan pihak TV3 mewajibkan kerja rumah kepada semua wartawan mereka sebelum menerbitkan sesuatu berita," katanya.

Bagaimanapun, dewan itu berpendapat, isu itu timbul kerana kerajaan negeri didakwa gagal membangunkan Sarawak sehingga dilabel daif.

"Masyarakat umum masih menganggap Sarawak sebagai negeri miskin dan daif, kecuali di kawasan bandar seperti Kuching. Ini merupakan satu persepsi umum yang ada benarnya," katanya.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.