Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Bekas menteri besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo berkata, pentadbiran BN di negeri itu sebelum ini sentiasa menjemput Sultan Selangor untuk hadir ke majlis sambutan ambang merdeka.

Mohd Khir menjelaskan bahawa beliau sebelum ini menjemput Sultan Selangor secara lisan dan secara rasmi  untuk hadir ke majlis di Dataran Kemerdekaan Shah Alam itu dan juga untuk majlis bacaaan surah Yasin keesokan harinya.

"Semasa kerajaan BN, tiap-tiap tahun kita menjemput Tuanku. Terpulang kepada Tuanku untuk hadir ataupun tidak.

"Setiap kali berjumpa (dengan Tuanku sebelum majlis itu), saya juga menjemput secara lisan dan secara (surat) rasmi untuk sambutan ambang kemerdekaan dan bacaan Yassin," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .

Mesti jemput Sultan

Sementara itu, dalam satu tulisannya di blog drkhir.com hari ini, Mohd Khir berkata Sultan Selangor lazimnya akan menghadiri majlis tahlil serta perbarisan perbarisan Hari Kebangsaan peringkat negeri.

NONE "Adalah menjadi satu kemestian untuk kerajaan negeri menjemput Tuanku Sultan Selangor sebagai tetamu kehormat acara ini.

"Manakala bagi sambutan ambang merdeka yang diadakan menjelang detik 12 malam, selalunya Tuanku Sultan hanya mewakilkan benteri besar.

Bagaimanapun, kerajaan negeri pada kali ini mengadakan perbarisan pada malam 30 Ogos dan perbarisan juga diadakan pada majlis sama.

"Oleh itu adalah wajib Tuanku Sultan Selangor dijemput untuk menyertai program kemuncak sambutan kemerdekaan peringkat negeri Selangor pada malam tersebut.

"Malangnya ini tidak berlaku kerana Pakatan tidak dapat memisahkan kepentingan politik kepartian dengan pentadbiran negeri," katanya lagi dalam tulisan tersebut.

Mohd Khir juga berkata Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim kini menyalahkan setiausaha kerajaan negeri Datuk Mohd Khusrin Munawi kerana tidak menjemput Sultan Selangor ke majlis pada malam berkenaan.

NONE Bagaimanapun, beliau berpendapat bahawa perkara itu berlaku kerana kerajaan negeri mahu penasihat ekonomi negeri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi tetamu utama di majlis tersebut.

"Saya fikir atas sebab inilah Mohd Khusrin Munawi tidak menjemput Tuanku Sultan Selangor. Sebagai seorang pegawai kanan kerajaan beliau mengetahui bahawa adalah salah dari segi protokol untuk menjemput Tuanku Sultan Selangor ke majlis peringkat negeri yang tetamu utamanya bukanlah Tuanku sendiri.

"Dari segi bidang tugas memang tanggungjawab Khusrin menjemput para tetamu kehormat dalam acara sambutan kemerdekaan. Namun tugas Khusrin terhad kepada susunan protokol sedia ada.

"Menteri besar dan barisan exco negeri harus mengambil tanggungjawab ini. Jika menteri besar telah menentukan Anwar Ibrahim sebagai tetamu kehormat majlis tersebut, apakah menteri besar berharap Khusrin akan melakukan jemputan kepada Tuanku Sultan?"

Perlu minta maaf

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Mohd Khir berkata, kerajaan negeri perlu memohon maaf kepada Sultan Selangor dan tidak menyalahkan orang lain dalam isu menjemput kepada baginda ke majlis sambutan ambang kemerdekaan itu.

NONE "Pemimpin yang baik, kalau tahu buat salah, minta maaf apa yang dibuat. Jangan salahkan orang lain. Minta maaf. Bila lantik nak jadi MB, menghadap Tuanku untuk angkat sumpah.

"Bila dapat jawatan, tinggal (Tuanku) tak jemput baginda. Habis madu sepah dibuang," kata kepada Malaysiakini sambil menganggap Faekah "tidak tahu apa-apa" berhubung hal jemputan tersebut.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan negeri menjemput Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berucap di majlis berkenaan memandangkan Anwar bukan pemimpin kerajaan Selangor.

"Kenapa jemput Anwar sebagai tetamu khas... Siapa ketua kerajaan negeri Selangor, Tuanku atau Anwar. Kenapa menggunakan wang rakyat untuk menjemput beliau.

NONE "Dalam satu majlis tak boleh ada dua tetamu khas... Takkan kedua-duanya nak berucap. Kenapa jemput Anwar, atas kapasiti apa. Ketua parti tak boleh dijemput (berucap) untuk majlis kerajaan negeri," katanya.

Beliau mengulas kenyataan setiausaha politik menteri besar, Faekah Husin bahawa kerajaan BN juga tidak pernah menjemput Sultan Selangor ke majlis tersebut.

Faekah dalam kenyataannya sebelum ini berkata, Tuanku tidak pernah dijemput untuk malam ambang kemerdekaan kerana baginda hanya akan hadir pada program rasmi pada sebelah pagi 31 Ogos iaitu majlis tahlil dan doa selamat di Masjid Negeri.

Faekah berkata, beliau mengesahkan perkara itu dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohamad Khusrin Munawi yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan ke-55.

Malah, Faekah juga berkata program sambutan ambang kemerdekaan pada tahun-tahun sebelum ini tidak pernah melibatkan kehadiran Sultan Selangor.

ADS