Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
RM100 juta untuk bangunan, naik taraf sekolah Tamil

Kerajaan meluluskan peruntukan RM100 juta bagi melaksanakan kerja-kerja menaik taraf bangunan sedia ada dan membina bangunan tambahan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri G Palanivel berkata kerja-kerja tersebut khusus untuk diselenggara oleh kontraktor-kontraktor daripada masyarakat India.

"Saya telah pun memohon kepada Kementerian Kewangan supaya mengecualikan kontraktor-kontraktor tersebut daripada syarat memiliki sijil Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) untuk kerja-kerja tersebut," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan kerja pecah tanah tapak SRJKT Jalan Paya Besar dekat Padang Serai, hari ini.

Palanivel yang juga Presiden MIC berkata selain itu terdapat enam buah SRJKT baharu diluluskan oleh Kementerian Pelajaran dan dua daripadanya di Kedah termasuk SRJKT Jalan Paya Besar.

Beliau berkata sebuah lagi sekolah baharu akan dibina di Taman Keladi, Sungai Petani berharga lebih RM10 juta dan sedang dalam peringkat penyediaan tapak dan kerja-kerja asas.

Katanya mengikut spesifikasi yang diluluskan, bangunan sekolah tiga setengah tingkat akan mengandungi satu blok pentadbiran dan akademik serta 12 bilik darjah.

"Ada satu blok lagi untuk Pra-Sekolah satu tingkat dan komponennya termasuklah tandas, pondok pengawal dan tempat menunggu bas," katanya.

Bagi lebih 6,000 masyarakat India sekitar kawasan Paya Besar dan Pekan Lunas dekat Padang Serai, sekolah baharu bernilai RM10.4 juta itu merupakan perjuangan mereka selama 15 tahun.

Palanivel memuji perpaduan masyarakat India di situ termasuklah daripada persatuan penduduk, badan bukan kerajaan (NGO) dan MIC Negeri Kedah sehingga membuahkan hasil melalui bantuan kerajaan yang menepati janji.

Hadir sama pada majlis tersebut adalah Pengerusi MIC Negeri Kedah yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Lunas S. Ananthan dan Anggota Jawatankuasa Kerja MIC Pusat Datuk M. Ganesan.

Lebih 1,000 penduduk sekitar dan pemimpin masyarakat India tempatan, negeri dan pusat hadir pada majlis itu.

- Bernama

ADS