Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Hasrat Pemuda Umno dan PAS bergabung untuk himpunan mengutuk filem Innocence of Muslims tidak menjadi kenyataan apabila kedua-dua pihak memutuskan membuat penganjuran berasingan.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata walaupun hasrat awal beliau dan Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan untuk bergabung, tetapi atas sebab "keselamatan dan bimbang insiden yang tidak diingini berlaku" kedua-dua pihak memutuskan mengadakannya secara berasingan.

NONE

Bagaimanapun, kata Khairy, kedua-dua kumpulan itu mempunyai niat dan hasrat yang sama untuk mengecam filem yang kontroversi itu, sekali gus menafikan dakwaan pihak tertentu yang menyatakan kedua-dua kumpulan "tidak bersatu" berhubung perkara ini.

Pemuda Umno akan mengadakan perhimpunan di Majis Jamek Kg Baru, manakala Pemuda PAS akan berhimpun di kedutaan Amerika Syarikat.

"Selepas berbincang panjang lebar, kami bersolidariti, kita sokong himpunan mereka dan beliau (Nasrudin) sokong apa yang kita buat.

"Oleh kerana risau dengan keadaan keselamatan apabila terlalu ramai penyokong parti akan bertembung di kedutaan AS, (jadi) kami buat keputusan (itu)... tidak (mahu) tenggelam dengan insiden yang (tidak dingini) berlaku," kata Khairy dalam sidang media di pejabatnya di ibu negara hari ini.

PERKASA sertai demo Pemuda Umno

Menurut Khairy, beliau juga mengambil keputusan itu setelah mendapatkan pandangan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang menasihatkan penganjuran perhimpunan secara berasingan atas sebab-sebab keselamatan.

"Kami tidak mahu menghantar mesej yang salah apabila berlaku pertembungan di kedutaan Amerika, akan berlaku 'mesej' lain pula," katanya sambil memberi jaminan bahawa perhimpunan esok akan berjalan dengan aman.

Nasrudin semalam menjelaskan melalui Twitter kepada Malaysiakini , "hak orang lain anjur kita tak ganggu".

"Pemuda PAS sudah bergerak ke seluruh negara dalam isu ini dan akan sambung kemuncaknya di kedutaan AS," katanya.

Khairy menambah perhimpunan mereka juga bertujuan untuk mengecam penerbitan kartun dalam sebuah majalah di Perancis yang turut menghina junjungan besar Muhammad SAW baru-baru ini.

Setakat ini lebih 15 NGO dan parti politik komponen BN akan turut serta dalam perhimpunan yang dijangkakan bakal disertai lebih 5,000 umat Islam itu selepas solat Jumaat esok.

Antara NGO yang terlibat kumpulan pendesak Melayu PERKASA, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Belia 4B dan beberapa pertubuhan silat. Wakil mereka hadir dalam sidang media hari ini.

Khairy turut mengalu-alukan penglibatan bukan Islam dari agama yang lain bersama-sama dalam perhimpunan itu sebagai usaha menyeru bahawa semua agama perlu dihormati.

ADS