Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pemuda Umno mengkritik keengganan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng untuk menegur tindakan pemimpin DAP Perak, Datuk Ngeh Ko Ham yang didakwa mempersoal bantahan umat Islam terhadap filem anti-Islam Innocence of Muslims.

Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata, tindakan itu memberi "gambaran jelas" bahawa ia merupakan sentimen dan pendirian DAP.

"Kalau sekiranya setiausaha agung DAP, kalau dia bos (yang) bertanggungjawab, dia akan mengeluarkan kenyataan tanpa bersyarat bahawa apa yang dikeluarkan oleh Ngeh itu tidak dapat diterima.

"Tetapi semalam, saya nampak kenyataan Lim Guan Eng bersyarat, (beliau kata), saya akan mengeluarkan kenyataan mengenai Ngeh Ko Ham, sekiranya, media arus perdana mengeluarkan kenyataan asal saya mengenai Innocence of Muslim .

"Bagi saya, apa jenis kenyataan itu sekiranya kamu ambil berat tentang sensitiviti umat Islam. Sekadar mengeluarkan kenyataan bahawa kenyataan Ngeh itu tidak betul. Dan disassociate parti dengan kenyataan Ngeh. Tapi dengan itu, dia masih lagi nak main politik," katanya.

Lim semalam ketika ditanya pemberita enggan mengulas kenyataan Ngeh sebaliknya meminta kenyataannya yang mengutuk penyiaran filem itu pada 16 September lalu disiarkan terlebih dahulu oleh media.

Tulisan Ngeh yang dipertikaikan itu menyebut: "Khairy mahu umat Islam mengadakan protes terhadap Sam Bacile (pengarah Innocence of Muslims ). Untuk Islam atau untuk kepentingan politiknya.

"Adakah orang Islam membuang terlalu banyak masa dan tenaga untuk ini," tulisan anggota parlimen Beruas di Twitter itu dipetik.

Kenapa main politik, Lim?

Bercakap dalam sidang media di ipagi ini, Khairy berkata Pemuda Umno "bukan terlalu bodoh" untuk gagal memahami maksud tersirat Ngeh bahawa umat Islam membazirkan masa melalui perhimpunan mengutuk filem itu.

Sehubungan itu, Khairy yang juga ahli parlimen Rembau menegaskan pihaknya tidak boleh menerima langsung kenyataan Lim berhubung isu tersebut.

"Kenapa nak bersyarat, kenapa nak main politik dengan media arus perdana, sedangkan ini isu yang menyentuh sensitiviti masyarakat umat Islam dan perlu kenyataan yang jelas daripada DAP. Tetapi itu pun tak boleh dibuat oleh Lim Guan Eng," katanya.

Khairy berkata kenyataan yang keluar daripada tweeter Ngeh Ko Ham "amat jelas" sekalipun beliau mengelak dengan mengatakan ia ditulis dalam bentuk soalan.

"Saya rasa tidak perlu saya jawab (panjang lebar), di kalangan rakan kongsi PAS (juga) telah menjawab dan mengecam kenyataan beliau.

"Dan saya rasa juga, ini bukan kenyataan peribadi (beliau)," katanya.

ADS