Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pro-M yakin kekal kerusi, pro-A ramal menang besar

Hari ini, kumpulan Pro-Mahasiswa (pro-M) dan Pro-Aspirasi (pro-A) bertembung lagi bagi memilih anggota Majlis Perwakilan Mahasiswa dalam pilihan raya kampus yang sering menarik perhatian umum serta pihak media.

Proses pengundian di lebih 15 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) bermula jam 8 pagi dan keputusannya dijangka diketahui sewal jam 6 petang.

Bagaimanapun, tumpuan kini terarah kepada tujuh kampus perdana IPTA yang setiap tahun mendapat liputan 'panas' khususnya mengenai kumpulan pro-M yang mendakwa terpaksa berdepan kekangan pihak pentadbiran universiti.

Persoalannya, mampukah pro-M mengekalkan penguasaan mereka di tiga kampus utama IPTA - UM, UKM dan UIA dan pada masa yang sama, menambah kerusi di kampus-kampus lain.

Atau, apakah pro-Aspirasi mampu kembali berkuasa, sekaligus mengukuh 'cengkaman' dan prestasi mereka di kampus berkenaan?

Dalam pilihan raya lalu, pro-M menang 23 daripada 41 kerusi yang dipertandingkan di UM, di UKM (22 daripada 37 kerusi) dan UIA (23 daripada 26 kerusi). Selebihnya dikuasai pro-A.

Kampus-kampus IPTA yang lain yang dikuasai pro-A ialah Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi).

Pengerusi pro-M Nasional, Edikoup Lakip Sediyanto mengakui mereka bakal menghadapi pertarungan sengit untuk mengekalkan penguasaannya, khususnya di UM, sekalipun yakin turut mampu mengekalkan penguasaan di UIA dan UKM.

"Pilihan raya kampus tahun ini agak sengit di UM... Kita berdepan dengan kekangan seperti tidak boleh berkempen secara bebas di kolej kediaman khusus kepada pelajar tahun satu, yang belum pernah mengundi," dakwanya.

"Di UIA, kita yakin boleh menang kerana secara tradisi memang kekuatan jentera dan sokongan kita ada di sana. Sokongan mereka (kepada pro-M) tidak berbelah bagi," kata Edikuop sambil mendakwa Ops 2020 turut digunakan untuk memenangkan calon Penggerak Mahasiswa.

Edikoup juga berkata pihaknya yakin mampu menambah dua atau tiga kerusi lagi, sekalipun mengakui sukar menang di USM, UTM, UPM dan Upsi antaranya disebabkan pertembungan tiga penjuru dengan calon bebas dan pro-A.

Berbeza dengan pro-M, Jurucakap pro-A, Mohd Hafiz Ariffin dipetik oleh Sinar Harian Online sebagai berkata pihaknya yakin  mampu mengulangi kemenangan besar di 15 pusat pengajian tinggi sepertimana lima kampus sebelum ini.

 

“Kami memang sasarkan kemenangan kerana kami berpegang pada strategi khusus di mana kepimpinan bakal calon digilap dari akar umbi, bermula dari kelab dan persatuan yang ada di universiti.

“Mereka lebih dekat dengan mahasiswa sejak awal, jadi lebih mudah untuk mendekati mahasiswa pada masa akan datang,” katanya dalam laporan tersebut.

Kampus lain yang bakal  melangsungkan pilihan raya kampus serentak esok antaranya Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak).

Dalam pilihan raya kampus pada 20 September lalu, pro-Aspirasi mencatat kemenangan besar di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Teknikal Malaysia (UteM) dan Universiti Tun Hussein Malaysia (UTHM).

ADS