Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gerakan minta tambahan kerusi pilihan raya
Diterbitkan:  Sep 29, 2012 6:08 PM
Dikemaskini: 10:11 AM

Gerakan hari ini melahirkan hasrat untuk mendapatkan tambahan satu lagi kerusi Parlimen dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada pucuk pimpinan BN untuk diwakili mereka pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Naib Presidennya Datuk Mah Siew Keong berkata ia adalah bagi diperuntukkan kepada calon bebas yang menyertai parti itu sepanjang tempoh empat tahun sebelum ini.

gerakan women forum 080306 mah siew keong "Kita berharap akan diberi tambahan kerusi pilihan raya kali ini," katanya ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Pemuda Nasional Gerakan Ke-25 di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung Gerakan Teng Chang Yeow dan Ketua Pemuda Datuk Lim Si Pin yang telah mengesahkan tidak bertanding pada PRU-13 nanti. Pada pilihan raya lepas Lim bertanding di kawasan Parlimen Batu di Wilayah Persekutuan tetapi kalah kepada Tian Chua dari PKR.

Sebelum ini, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mengumumkan bahawa Gerakan komited untuk bertanding di 47 kerusi Parlimen dan DUN selain mempertahankan kerusi-kerusi yang telah dimenangi sebelum ini.

Selain itu, Mah turut menggesa sayap Pemuda untuk memainkan peranan dalam meraih sokongan pengundi muda kerana mereka merupakan 20 peratus atau tiga juta daripada jumlah keseluruhan pengundi berdaftar.

"Saya tengok ada perubahan positif termasuk banyak golongan pemuda menghargai transformasi oleh Najib (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak), generasi muda banyak menggunakan rangkaian media sosial seperti Facebook dan Twitter.

"Oleh itu peranan Pemuda Gerakan amat penting, parti akan banyak bergantung kepada Pemuda, golongan muda adalah berbeza, jadi terserah kepada anda untuk mendekati mereka," katanya.

Melihat kepada pentingnya pengundi muda, beliau berkata pihak parti juga tidak ada masalah untuk menimbangkan permintaan sayap Pemuda bagi lebih banyak calon daripada golongan mereka dipilih bertanding pada PRU-13.

- Bernama

ADS