Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: K'jaan kaji mekanisme jangka panjang harga kereta

Kerajaan maklum bahawa rakyat mahukan pilihan lebih baik dalam pemilikan kereta dan kerajaan sedang mengkaji perkara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Kerajaan maklum rakyat mahukan pilihan yang lebih baik jadi kita sedang mengkaji perkara ini dan mungkin tak lama lagi kita akan bentangkan penyelesaian jangka panjang untuk ini," kata Najib dalam sesi bual bicara dalam talian Google Hangout malam tadi.

Najib berkata demikian sewaktu menjawab soalan peserta, Prajesh Prakash yang bertanya sama ada kerajaan bercadang menyelaraskan duti untuk harga kereta import.

Menurut Najib, pengurangan duti import kereta satu urusan yang kompleks kerana kerajaan kini memperolehi kira-kira RM7 bilion setahun dari cukai itu.

Tambahnya, pengurangan harga kereta melalui penyelarasan duti import juga perlu mengambil kira kesan kepada pasaran kereta terpakai yang akan terjejas akibat langkah tersebut.

Pakatan Rakyat sebelum ini giat berkempen untuk mengurangkan duti eksais kereta jika mengambil alih Putrajaya.

Langkah itu berdasarkan perkiraan Pakatan akan mengurangkan harga kereta sehingga 60 peratus.

Membuka sesi bual bicara sebelumnya, Najib menegaskan bahawa Bajet 2013 yang baru sahaja dibentangkannya bukanlah bajet pilihan raya seperti didakwa pihak-pihak tertentu.

"Kebetulan inilah bajet terakhir sebelum pilihan raya akan datang.

"Itu tidak benar kerana secara asasnya bajet ini secara fiskalnya bertanggungjawab kerana defisit kita semakin berkurangan," katanya.

Tambahnya lagi, beliau turut menterjemahkan gagasan 'Rakyat Didahulukan' yang sememangnya diterapkan dalam setiap bajet sebelum ini, ke dalam bajet 2013.

Bual bicara dalam talian #TanyaNajib ini adalah yang kedua selepas pertama kali berlangsung dalam bulan Januari.

Bezanya kali ini Najib menggunakan applikasi Google Hangout dengan lima rakan bual bicara lain di samping menjawab soalan-soalan dari Facebook dan juga Twitter.

"Langkah ini amat bersejarah dan saya harap kita dapat adakannya lagi pada masa hadapan," katanya.

Sesi tersebut menerima 503 'Suka' dan 941 'Tidak Suka' selepas ia berakhir semalam.

Najib adalah ahli politik Malaysia kedua menggunakan aplikasi ini selepas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berbuat demikian bulan Ogos lepas.

[Baca berita penuh]

ADS