Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang ahli kariah Masjid Ar-Rahman, Alor Merah di Alor Setar tidak menyangka beg plastik yang ditemui di hadapan tandas wanita masjid itu malam tadi mengandungi mayat bayi lelaki.

    

Ishak Chin, 54, berkata dia menyangkakan beg plastik itu berisi sampah namun sangkaannya meleset.

"Selepas menunaikan solat Isyak kira-kira pukul 8.45 malam tadi, saya pergi menutup pintu pagar di tepi masjid dan saya ternampak plastik tersebut.

    

“Pada awalnya saya sangkakan beg berwarna coklat gelap itu berisi sampah dan ingin membuangnya sebelum pulang. Namun setelah mengangkatnya terasa isi kandungannya berat.

    

"Apabila dibelek terdapat satu bungkusan kain putih dan kemudian saya menyelak kain dan terperanjat apabila ternampak muka bayi,” katanya.

Ishak berkata dia telah memaklumkan kepada imam masjid serta ahli kariah lain dan kemudian laporan dibuat di Pondok Polis Alor Merah.

    

Katanya bayi itu cukup sifat dan masih bertali pusat, berkulit sawo matang, mungkin berbangsa Melayu.

    

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata mayat bayi berkenaan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat.

    

“Buat masa sekarang tiada suspek ditahan berhubung kes berkenaan. Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya.

    

- Bernama

ADS