Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Saya bukan sokong Soros atau Suaram'
Diterbitkan:  Oct 15, 2012 12:30 PM
Dikemaskini: 4:53 AM

Timbalan menteri Datuk Saifuddin Abdullah menjelaskan bahawa beliau tidak menyokong jutawan George Soros mahupun Suaram melalui kenyataannya minggu lalu bahawa serangan BN ke atas Soros berpotensi memakan diri sendiri.

Laporan Sinar Harian menyebut, Saifuddin menjelaskan bahawa kenyataannya itu dibuat dalam perspektif politik baru yang berasaskan ilmu dan kebijaksanaan.

"Saya bukan sokong Soros atau Suaram. Politik kita terlalu adversarial (bertentangan) sehingga menimbulkan permusuhan sesama sendiri," katanya seperti dipetik akhbar itu.

Menurut laporan itu lagi, Saifuddin menjelaskan bahawa BN perlu mendapat sokongan golongan pertengahan yang terdiri daripada pengundi muda, kelas pertengahan dan profesional.

"Menurut kajian, 30 peratus daripada pengundi menilai dari segi artikulasi idea dan dasar, tidak minat serangan politik yang keterlaluan.

"Mereka faham politik ada bidasan dan serangan, tapi mereka tak suka bila ia keterlaluan seperti serangan peribadi dan menghukum di khalayak sebelum didapati bersalah secara perundangan," katanya.

Beliau menjelaskan pandangannya pada Khamis lalu, seperti dilaporkan Malaysiakini, bahawa serangan yang kini dijalankan BN ke atas George Soros, berpotensi "memakan diri sendiri" kelak.

Atas dasar itulah, katanya, beliau tidak gemar menyerang Soros mahupun NGO Suaram yang didakwa sebagai penerima dana daripada badan yang didakwa mempunyai kaitan dengan jutawan tersebut, katanya.

Kenyataannya itu menerima pelbagai kritikan daripada pemimpin anti-Pakatan Rakyat, seperti MP Kulim-Bandar Baru Datuk Zulkifli Noordin yang menuntut supaya ahli majlis tertinggi Umno itu meletak jawatan.

Dalam laporan akhbar milik Umno, Mingguan Malaysi a semalam, Zulkifli berkata Saifuddin sepatutnya membezakan "isu pertubuhan haram menerima dana asing untuk menjatuhkan kerajaan" dan "isu politik".

Turut dibariskan dalam laporan untuk menyelar Saifuddin itu ialah presiden Jaringan Melayu Malaysia Azwanddin Hamzah dan juga presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia Mohd Shahar Abdullah.

Hari ini, bekas pemimpin Angkatan Muda Keadilan Muhammad Zahid Mat Arip pula, menurut Sinar Harian , berkata kenyataan Saifuddin itu menunjukkan timbalan tersebut seolah-olah menyokong Suaram yang didakwa menerima dana dari Soros.

Katanya lagi, Saifuddin berbuat demikian "demi kepentingan politik peribadi" kerana mungkin tidak akan dibariskan dalam kabinet BN lagi sekiranya parti itu berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke-13.

ADS