Kondo Batu Caves: Saya pun tak terlibat, kata Kohilan

Senator A Kohilan Pillay menjelaskan, beliau sama sekali tidak
terlibat dengan kelulusan projek kondominium kontroversi 29 tingkat di Batu Caves walaupun bertindak sebagai ahli majlis berkaitan ketika
keputusan itu dibuat.

Menafikan dakwaan Exco Selangor Ronnie Liu, pengerusi Gerakan Selangor itu berkata, kelulusan terhadap projek yang dipertikaikan itu dikeluarkan oleh Bahagian Unit Setempat (OSC), Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

NONE"Saya hanya ahli majlis, bukan saya yang memberi kelulusan. OSC dalam majlis yang beri kelulusan, saya tidak terlibat. Kalau dia (Ronnie) nak cakap, dengan faktalah... Banyak fakta diputar belit.

"Tidak ada tanda (saya) beri persetujuan. Saya sudah periksa fail,
saya tidak terlibat memberi kelulusan," katanya yang juga timbalan
menteri luar negeri.

Berdasarkan portal MPS, OSC berfungsi menerima permohonan kelulusan pelan bangunan, pelan kerja tanah dan kebenaran merancang untuk kelulusan MPS.

Kohilan berkhidmat sebagai ahli majlis selama 11 tahun daripada 1997
hingga 2008.

'Apa peranan ahli majlis era Pakatan?'


Liu pada 24 Oktober dilapor mendakwa Kohilan dan ahli parlimen Hulu
Selangor P Kamalanathan antara individu yang bertanggungjawab
meluluskan cadangan projek itu.

Kamalanathan juga kelmarin menafikan dakwaan sama dan membuat laporan polis berhubung perkara itu manakala Kohilan pula membuat laporannya di Balai Polis Batu Caves petang semalam.

Batu caves condo near temple ronnie liu with map frontBercakap kepada Malaysiakini petang semalam, Kohilan berkata beliau hanya sedar namanya dan Kamalanathan dikaitkan dengan kelulusan itu selepas dibangkitkan oleh pihak kuil di Batu Caves baru-baru ini.

Justeru, beliau menyifatkan dakwaan Liu sebagai “tiada fakta” dan
hanya “tuduhan membuta tuli”.

“Tengok siapa yang buat (beri kelulusan). Jangan main agak-agak
sahaja. Ini ada agenda politik," katanya lagi.

Sementara itu, sekalipun mengakui kelulusan itu dibuat sewaktu BN
memerintah Selangor, Kohilan mempersoal peranan ahli majlis baru pada era Pakatan.

"Apakah mereka (kerajaan Pakatan) tidak memantau langsung atau tak tahu mengenai perkara ini... Apa peranan ahli majlis selepas itu
(kerajaan Pakatan memerintah)," soalnya.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.