Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
17 pegawai kanan polis bertukar, naik pangkat
Diterbitkan:  Nov 1, 2012 8:03 AM
Dikemaskini: 12:07 AM

Suruhanjaya Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran serta kenaikan pangkat 17 pegawai kanan polis.

    

Menurut kenyataan Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, Ketua Urusetia NKRA Bukit Aman Datuk Wira Ayub Yaakob kekal di jawatan kini dengan memangku pangkat Pesuruhjaya Polis (CP).

    

Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) (penyelidik & pembangunan) Bukit Aman Datuk Rusli Ahmad dilantik sebagai Timbalan Ketua Urusetia NKRA dengan memangku pangkat Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP).

    

Datuk Shabudin Abdul Wahab, yang sebelum ini memangku jawatan Komandan Maktab PDRM, dilantik sebagai Timbalan Pengarah pengurusan (latihan), Jabatan Pengurusan Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.

    

SAC Modal Insan dan Korperat, Urus setia KPN (Penyelidik & pembangunan) Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim dilantik sebagai Ketua Urus Setia KPN (penyelidik & pembangunan) Bukit Aman manakala Datuk Fatimah Ghazali, yang sebelum ini Timbalan Ketua Polis Pahang, dilantik sebagai Timbalan Pengarah II Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

Jawatan Fatimah diganti oleh Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof, yang sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah II JSJK Bukit Aman.

    

Ketua Penolong Pengarah (D6) Bantuan Teknik Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) M.Dev Kumar dinaikkan menjadi SAC Modal Insan dan Korporat, Urus Setia KPN (penyelidik& pembangunan) Bukit Aman dengan memangku pangkat Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC).

    

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid pula dinaikkan pangkat sebagai Ketua Jabatan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur dengan memangku pangkat SAC.

    

ACP Muhammad Az-Lee Abdullah, yang sebelum ini memegang jawatan Ketua Unit Pengajian Sains Kepolisan, Maktab PDRM dinaikkan sebagai Ketua Polis Daerah Brickfields.

    

Ketua Polis Daerah Ipoh, Perak ACP Azisman Alias pula dinaikkan pangkat sebagai Ketua Unit pengajian sains kepolisan, Maktab PDRM manakala Ketua Polis Daerah Tawau, Sabah, ACP Ibrahim Chin pula dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (D6) Bantuan Teknik, JSJ Bukit Aman.

ACP Awang Besar Dullah, yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Ketua JSJ (risikan/operasi) IPK Sabah dinaikkan menjadi Ketua Polis Daerah Tawau.

    

Penguasa Polis (Supt) Sum Chang Keoang yang sebelum ini menjadi Supt Siasatan I, JSJK IPKKL dinaikkan sebagai Ketua Polis Daerah Ipoh dengan memangku pangkat ACP manakala Ketua Polis Daerah Bentong, Pahang Supt Abdul Aziz Salleh pula dinaikkan menjadi Ketua Polis Daerah Temerloh dengan memangku pangkat ACP.

    

Pegawai Penjaga Mahkamah JSJ IPKKL, Supt R.Munusamy kekal pada jawatan sekarang dengan memangku pangkat ACP manakala Supt Carleel Mohd Effendi, yang sebelum ini adalah Supt pengajian siasatan jenayah perdagangan, Maktab PDRM, dinaikkan menjadi Timbalan Ketua JSJ (risikan/operasi) IPK Sabah dengan memangku pangkat ACP.

    

Supt Adlan Ahmad pula dinaikkan sebagai Penolong Pengarah siasatan lain-lain jenayah perdagangan JSJK Bukit Aman dengan memangku pangkat ACP.

    

Beliau sebelum ini bertugas sebagai Ketua Unit Siasatan Jenayah Kad Kredit, JSJK Bukit Aman.

- Bernama

ADS