KOLUM | Sudah jatuh Indonesia ditimpa tangga
KOLUM | Sudah jatuh ditimpa tangga. Peribahasa Melayu ini sudah tentu difahami oleh rakyat Malaysia, dari Perlis hingga ke Sabah. Ia juga sudah tentu difahami oleh rakyat Indonesia, dari Aceh hingga ke Papua Barat.
Cuma dalam bahasa Indonesia, ungkapan bakunya ialah “sudah jatuh tertimpa tangga.”
Berkongsi peribahasa bermakna kedua-dua negara mempunyai hubungan sosiobudaya dan psikobudaya yang melibatkan emosi dan senstiviti serupa. Apa yang berlaku di Indonesia boleh bergema di Malaysia, dari zaman revolusi, Orde Baru, reformasi dan hinggalah sekarang.
Inilah yang menjadikan Malaysia dan Indonesia itu serumpun, bukan saja genetik, geografi arau sejarahnya tetapi lebih utama ialah bahasanya.
Seluruh rakyat Indonesia mempelajari bahasa Indonesia yang berakar daripada bahasa Melayu. Tentunya bahasa Melayu di Malaysia berbeza tetapi nahu, kebanyakan perkataan dan peribahasanya adalah serupa.
Jadi, apa saja yang diperkatakan di Indonesia dengan mudah difahami oleh orang Malaysia, dan begitu juga sebaliknya, terutama pada era media sosial ini. Sememangnya Malaysia hanya sebesar wilayah-wilayah (provinsi) Indonesia.
Seorang warganet Indonesia malah menyindir dengan menyebut bahawa “pasaran Malaysia adalah hanya sebesar Jawa Timur”, tetapi negara ini cukup besar untuk sedikit sebanyak mengurangkan beban rakyat mereka.
Indonesia sekarang sedang mengalami nasib “sudah jatuh, ditimpa tangga” pula. Ia merujuk pada bencana karhutla – yakni kependekan kebakaran hutan dan lahan. Indonesia sememangnya pakar mencipta kependekan perkataan.
Karhutla merupakan istilah rasmi untuk kebakaran di kawasan hutan simpan dan tanah pertanian, sama ada persendirian, syarikat atau korporat. Lahan pula ialah ladang, kebun dan tanah pertanian.
Karhutla ini dikategorikan secara rasmi sebagai bencana bukan alam atau antropogenik iaitu bencana hasil daripada aktiviti manusia, tidak kira apa tujuannya.
Pelbagai krisis di serata tempat
Jadi, karhutla adalah “jatuhnya” Indonesia. “Tangga” yang menimpanya ialah ancaman Morgan Stanley Capital International (MSCI) untuk menurunkan negara itu ke status pasaran berdiri sendiri (standalone) daripada pasaran baru muncul (emerging market) pada Jun 2027.
Ia boleh berlaku jika Indonesia tidak memperbaiki keadaan sistem pasaran sahamnya. Itu bermakna Indonesia berdepan dengan risiko duduk setaraf dengan Zimbabwe dan Lubnan.
Jika berkedudukan sedemikian, pelabur asing tidak akan masuk dan ia pasti menyebabkan pengaliran keluar modal hingga berlaku inflasi yang mencanak mendadak dengan kejatuhan nilai rupiah jatuh merudum.
Amaran MSCI itu juga mengakibatkan kejatuhan nilai saham yang amat besar pada Isnin dan Selasa lalu.
Sebelum ini MSCI berulangkali memberi amaran kepada Jakarta untuk memperbaiki keadaannya tetapi laporan menyatakan, ia tidak diendahkan.
MSCI bertindak sedemikian kerana berlaku krisis kepercayaan yang datang dari isu integriti di mana saham-saham yang dinyatakan milik awam telah didapati dipegang oleh sekumpulan orang saja (disebut mafia saham).
Akibatnya saham yang dipegang orang ramai menjadi kecil dan mendatangkan risiko manipulasi kumpulan berkenaan. Maknanya di Indonesia, reformasi kewangan dan penguatkuada peraturan adalah lemah.
Tetapi ini bukan saja “tangga” yang menimpa Indonesia. Negara itu turut mengalama krisis bekalan bahan api dengan kelihatan yang rakyat mereka beratur panjang di Bali, Sulawesi Selatan,;Sulawesi Utara, Kalimantan Barat, Jawa Timur dan sebahagian Sumatera untuk mengisi minyak.
Selain itu berlaku juga putusnya bekalan elektrik di Batam, Bintan, Tanjung Pinang di Kepulauan Riau di Sumatera pada 12 Okt sehingga menjejaskan penyediaan bekalan air, operasi kilang dan perkhidmatan Internet.
Ditambah pula berlaku kebakaran di Bangka Selatan, Sumatera sepanjang Sept hingga Okt yang memusnahkan kampung-kampung hingga menjadi suatu krisis besar dengan 1,000 orang warga kehilangan tempat tinggal.
Ada tiga letupan gunung berapi sepanjang Okt ini iaitu Gunung Ibu di Maluku Utara, Gunung Semeru di Jawa Timur dan Gunung Anak Krakatau di Selat Sunda.
Krisis keyakinan anak Jokowi
Pada Okt juga berlaku gempa bumi di wilayah Nusa Tenggara Timur yang kesannya belum dapat diatasi. Sebelum itu pula berlaku banjir kilat besar di Sumatera Utara dan Sumatera Barat, sementara banjir melanda Aceh pada tahun lalu mendatangkan kesan yang masih juga tidak diatasi.
Hujan lebat adalah bencana alam. Tetapi kesan banjir yang buruk adalah akibat pembalakan dan hasil korupsi yang merupakan bencana buatan manusia.
Segala kesusahan itu mendorong mahasiswa turun ke jalanan dan berdemonstrasi di Aceh. Mereka menuntut supaya korporat-korporat yang melakukan pembalakan hingga menyebabkan banjir dikenakan tindakan.
Tular bendera Aceh Merdeka dikibarkan dan lambang nasional garuda dijatuhkan. Berlaku rusuhan dan pertempuran antara mahasiswa dengan polis.
Pada Rabu lalu, demonstrasi mahasiswa dari pelbagai universiti turut diadakan di Jakarta sempeba ulang tahun kedua pentadbiran Presiden Prabowo Subianto. Ternyata mereka tidak puas hatii.
Prestasi kepimpinan Prabowo dipersoalkan. Tetapi andai Prabowo berundur, maka yang menggantikannya tentulah naib presiden pula, iaitu Gibran Rakabuming Jokowi yang berusia 39 tahun.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/02/ff99ceb860e46b8460310d6a2c501184.jpg)
Sejak beberapa bulan ini, Gibran menjadi perhatian terkait kelulusan akademik dan sijil setara sekolah menengah atas (SMA) saja. Dia menamatkan pendidikan menengah atasnya di Singapura tetapi ternyata tiada sijil.
Sedangkan syarat minimum untuk bertanding pilihan raya presiden ialah lulus setara SMA.
Isu lain mengenai Gibran ialah dia itu planga-plongo (bahasa Jawa bermaksud diam dan menoleh ke sana ke sini dengan wajah kebingungan). Dia tidak tahu untuk menjadi seorang berjawatan.
Dia kelihatan seperti anak muda yang tidak tahu apa-apa, sama ada berucap atau memberi pendapat yang wajar. Keadaan Gibran hanya membuat malu pemerintah Indonesia.
Politik Indonesia mempunyai pergolakannya tersendiri. Prabowo menubuhkan sebuah kabinet yang besar, merangkumi wakil semua parti politik dalam parlimen hinggakan semua parti ada dalam kerajaan.
Akibatnya, pemerintahan Indonesia dikuasai oleh satu golongan elit penguasa, baik politik, korporat mahupun pertubuhan agama. Penumpukan kuasa berlaku dan korupsi sukar untuk diberantas secara wajar.
Kurangkan kemiskinan di negara lain
Pada masa sama apa yang diperoleh oleh gerakan Reformasi sebelum ini sedikit sebanyak terungkai apabila pihak tenteta kembali diberikan peranan-peranan tertentu.
Indonesia telah mencapai banyak kemajuan sebelum ini. Golongan intelektualnya juga hebat-hebat. Buku-buku serius banyak diterbitkan yang membuatkan bahasa Indonesia lebih terkedepan.
Tetapi mengapakah kekuatan intelektual, budaya dan kesenian tidak menerjemahkan Indonesia untuk menjadi negara maju, makmur, berdisiplin dan berintegriti?
Kalau melihat Jakarta dan banyak bandar-bandar besar lain, banyak perubahan berlaku berbanding semasa pemerintahan Suharto. Banyak tempat yang bersih, tersusun dan membangun.
Namun Indonesia masih jauh daripada menjadi negara berjaya. Kemiskinan tegar masih tinggi.
Negara itu merdeka dengan darah pada 1945 melalui revolusi yang memansuhkan sistem beraja di banyak wilayahnya. Sukarno dapat menyatukan Indonesia dari Aceh hingga Papua Barat dengan gagasan politik ideologikal yang memerlukan pemahaman intelektual.
Tetapi ia tetap tidak berjaya menghasilkan negara yang makmur.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/02/1c3ad07441fde9568b3e13fdc127fcb5.jpg)
Pada 1965, kerajaan Suharto dapat menghancurkan komunisme dengan darah melalui pembunuhan antara 500,000 hingga sejuta rakyatnya. Sistem demokrasi dan kapitalisme yang diamalkan oleh Orde Baru seharusnya memberi kemakmuran seperti yang dinikmati oleh Malaysia, Singapura dan Thailand.
Tetapi ia tidak berlaku di Indonesia. Sebaliknya negara pimpinan komunis di China dan Vietnam yang dapat mengurangkan kemiskinan dan mendatangkan kemakmuran.
Apa yang diperkenalkan oleh Suharto ialah pseudodemokrasi dan kroni-kapitalisme. Akhirnya ia membawa kepada gerakan Reformasi pada 1998 untuk membasmi korupsi, kolusi dan nepotisme dan menjatuhkan Suharto.
Reformasi membawa kepada pemerintahan Bacharuddin Jusuf Habibie, Abdurrahman Wahid, Megawati Sukarnoputri, Susilo Bambang Yudhoyono, Joko Widodo dan kini Prabowo.
Seperti kata bekas calon naib presiden, Mahfud MD, semasa Suharto, korupsi digambarkan terjadi secara terpusat, terkoordinasi dan didominasi oleh satu lingkaran politik saja iaitu parti Golongan Karya (Golkar).
Tetapi kini, menurutnya, korupsi meluas secara horizontal hinggakan tiada parti politik yang tidak tersentuh dengan kebobrokan itu.
Maka bagi Mahfud, korupsi kini lebih parah dan meluas kerana ia dilakukan secara bersendirian oleh orang perseorangan di pelbagai institusi, dari Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), ketua pegawai daerah hingga ke hakim – atas nama demokrasi dan kebebasan.
ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Lapor komen ini
/file/attachments/888/kebakaran_545495.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.