ULASAN | Melihat makna kepulangan bekas pemimpin PKR
ULASAN | Kepulangan beberapa bekas pemimpin ke dalam PKR tidak sepatutnya dilihat hanya melalui cerita lama tentang siapa pernah keluar, siapa kekal dan siapa sekarang memilih untuk kembali. Bagi saya, persoalannya lebih besar daripada itu. Bolehkah pengalaman, jaringan politik dan pengaruh yang mereka masih ada membantu menguatkan sebuah parti yang hari ini memikul tanggungjawab jauh lebih besar berbanding ketika sebahagian daripada mereka meninggalkannya dahulu?
Edmund Santhara Kumar, Kamarudin Jaffar, Tian Chua, Xavier Jayakumar dan Steven Choong Shiau Yoon bukan orang baru dalam politik. Mereka pernah melalui pilihan raya, mengurus kawasan, berada dalam Parlimen dan kerajaan. Sejarah politik mereka tidak sama dan ada bahagian tertentu yang masih sukar diterima oleh sebahagian ahli PKR. Tetapi pengalaman yang dibina selama bertahun juga tidak patut dibuang begitu sahaja hanya kerana hubungan politik pernah retak ketika parti melalui antara waktu paling sukar dalam sejarahnya.
Saya sendiri masih baru dalam PKR. Sebelum ini saya pernah bersama Bersatu dan tidak melalui setiap episod perpecahan PKR dari dalam parti. Jadi saya tidak akan berpura-pura memahami sepenuhnya apa yang dirasakan oleh ahli yang kekal ketika parti melalui waktu susah. Mereka yang bertahan tentu mempunyai pengalaman dan luka politik yang berbeza daripada orang yang datang kemudian seperti saya.
Tetapi mungkin kerana datang daripada perjalanan politik yang berbeza, saya juga melihat satu perkara dengan lebih terbuka. Dalam politik, perjalanan seseorang jarang bergerak lurus. Ada yang keluar, ada yang kembali, ada yang berubah pendirian dan ada yang akhirnya memilih tempat yang dirasakan lebih sesuai dengan perjuangan mereka. Soalnya bukan sama ada semua orang mempunyai sejarah yang sempurna. Soalnya ialah apa yang mereka mahu buat sekarang.
Langkah presiden parti Anwar Ibrahim membuka pintu kepada bekas pemimpin dan aktivis lama menunjukkan dia tahu PKR sekarang perlukan penyatuan. Dalam kongres parti, Anwar sendiri mengajak mereka yang pernah bersama PKR untuk kembali dan turut memohon maaf kepada mereka yang mungkin pernah terasa dipinggirkan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/03/fe98bc88dc228798d474bc3dd725a8d6.jpg)
Bagi seorang pemimpin yang sudah melalui begitu banyak naik turun politik, daripada berada dalam kerajaan, disingkirkan, dipenjarakan, mengetuai pembangkang hinggalah menjadi perdana menteri, tentu dia faham bahawa sampai satu tahap parti kena memilih sama ada mahu terus hidup dengan setiap pertelingkahan lama atau mengumpulkan semula kekuatan yang masih ada.
Tetapi membuka pintu tidak bermaksud mereka yang kekal selama ini boleh dilupakan. Ada ahli yang terus menjaga cabang, buat program, turun kawasan dan mempertahankan parti ketika nama-nama besar sudah keluar parti. Mereka ini layak dihormati. Orang yang datang kemudian seperti saya tidak sepatutnya mengajar mereka bagaimana mereka patut rasa terhadap kepulangan bekas pemimpin.
Sebab itu penyatuan perlu dibuat dengan adil. Mereka yang kekal dan mereka yang kembali perlu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha menguatkan parti, bukan dua kumpulan yang akhirnya berebut tempat yang sama.
Elak ulang masalah lama
Nilai sebenar mereka yang kembali bukan sekadar pada nama atau jawatan lama. Ia terletak pada pengalaman dan hubungan yang masih mereka ada. Politik di kawasan dibina bertahun-tahun. Bekas ahli parlimen dan pemimpin lama biasanya masih mempunyai hubungan dengan ketua masyarakat, persatuan penduduk, peniaga dan pengundi. Mereka tahu bagaimana kawasan bergerak dan bagaimana pilihan raya sebenarnya dijalankan.
Perpecahan selepas 2020 memberi kesan kepada PKR lebih besar daripada sekadar kehilangan beberapa nama terkenal. Apabila seseorang pemimpin keluar, kadang-kadang rangkaian tempatan turut menjadi lemah. Cabang kehilangan momentum, penyokong menjauh dan hubungan dengan pengundi boleh terputus. Jadi apabila sebahagian daripada mereka kembali, peluang yang ada bukan sekadar menambah angka keahlian. Ia boleh membantu membina semula hubungan yang pernah hilang.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/06/bc085ae12db61948f55c07859777c94a.jpg)
Tetapi PKR juga kena berpijak pada realiti. Seorang pemimpin kembali tidak bermaksud semua penyokong lamanya akan ikut bersama. Pengundi hari ini lebih bebas membuat keputusan dan kesetiaan politik semakin sukar dijangka. Ada yang masih hormat seseorang pemimpin tetapi belum tentu setuju dengan keputusan politiknya. Mereka yang kembali tetap kena membuktikan bahawa mereka masih boleh menyumbang melalui kerja dan kemampuan membina semula keyakinan.
Sebab itu soal jawatan dan kerusi pilihan raya perlu diurus dengan berhati-hati. Mereka yang kembali tidak sepatutnya terus mendapat laluan mengatasi ahli yang bertahun-tahun membina parti ketika mereka tiada. Pengalaman mereka lebih baik digunakan untuk menguatkan cabang, memperkemas jentera pilihan raya, menghubungkan semula parti dengan rakyat dan membantu membangunkan pemimpin muda.
Kalau proses ini akhirnya bertukar menjadi satu lagi perebutan jawatan dan pengaruh, PKR hanya akan mengulang masalah lama dalam bentuk baru.
Sokongan rakyat tak datang automatik
Masa penyatuan ini juga penting kerana Anwar hari ini bukan lagi mengetuai parti pembangkang yang tugas utamanya mengkritik kerajaan. Dia sekarang mengetuai kerajaan sendiri, dan Belanjawan 2027 menunjukkan betapa besar tanggungjawab itu.
Belanjawan bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” itu cuba menyentuh kehidupan rakyat daripada pelbagai lapisan. Ada bantuan melalui STR dan SARA, langkah berkaitan gaji, pelepasan cukai, pendidikan, kebajikan, pekerja gig, perumahan, pengangkutan serta persediaan menghadapi perubahan teknologi dan AI. Anwar sendiri menyifatkannya sebagai satu kontrak moral antara kerajaan dengan rakyat.
Antara langkah yang paling dekat dengan kehidupan harian rakyat ialah peluasan STR dan SARA. Kerajaan memperuntukkan RM16 bilion untuk kedua-dua program pada 2027, dengan penerima STR boleh menerima SARA sehingga RM150 sebulan, selain bayaran SARA kepada rakyat berumur 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR. Bagi keluarga yang setiap bulan mengira baki selepas bayar sewa, barang dapur, bil dan sekolah anak, bantuan seperti ini tentunya lebih mudah dirasai daripada perbahasan panjang tentang angka ekonomi.
Dalam soal gaji pula, kerajaan bergerak lebih jauh. Gaji minimum dijadual meningkat daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun 2027 bagi pekerja yang tertakluk kepada kadar baharu. Kerangka gaji baharu pula menetapkan RM2,500 sebagai kadar permulaan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan, manakala GLIC dan GLC meningkatkan penanda aras gaji kehidupan wajar kepada RM3,400.
Langkah ini penting kerana masalah kos sara hidup tidak boleh selama-lamanya dijawab dengan bantuan tunai. Kalau harga hidup naik tetapi gaji bergerak perlahan, rakyat tetap akan rasa terhimpit.
Belanjawan itu turut merangkumi cukai, pendidikan, kebajikan, pengangkutan, perumahan dan perlindungan pekerjaan. Pelepasan cukai individu dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000, kadar cukai untuk sebahagian kumpulan pendapatan pertengahan dikurangkan dan pelepasan turut diperluas kepada beberapa perbelanjaan termasuk penjagaan keluarga dan langganan AI. Ada juga langkah untuk peminjam PTPTN, pesawah, nelayan, OKU, petugas kesihatan, peniaga kecil, pembeli rumah pertama dan pekerja gig.
Dalam masa yang sama, kerajaan cuba menyediakan anak muda untuk dunia kerja yang sedang berubah. Seramai 100,000 lagi anak muda akan menerima langganan AI percuma, selain latihan digital dan pelaburan yang lebih besar dalam AI, penyelidikan, automasi dan pembangunan kemahiran. Membantu rakyat menghadapi tekanan hari ini memang penting. Menyediakan mereka menghadapi ekonomi yang sedang datang juga sama penting.
Semua ini memberi kerajaan dan PKR satu landasan dasar yang kuat. Tetapi kita juga tidak boleh menganggap bila banyak bantuan diumumkan, sokongan rakyat akan datang secara automatik.
Di sinilah dasar kerajaan bertemu dengan realiti politik.
/file/attachments/orphans/AI1ad2dd_780041.png)
Tidak boleh hanya bergantung pada Anwar
Dasar dibuat di Putrajaya, tetapi keyakinan rakyat dibina di kawasan. Pemimpin tempatan dan cabang perlu tahu apa yang kerajaan umumkan, siapa yang layak, bagaimana rakyat boleh mendapat manfaat dan di mana masalah pelaksanaan berlaku. Kalau bantuan memang ada tetapi orang yang layak tidak tahu macam mana hendak mendapatkannya, parti pemerintah tidak boleh hanya berharap rakyat akan faham sendiri.
Di sinilah pengalaman pemimpin lama yang kembali boleh digunakan. Mereka tahu kawasan, kenal masyarakat dan faham bagaimana jentera bergerak. Pengalaman mereka pula boleh digabungkan dengan pemimpin muda yang lebih memahami pengundi baru, media sosial dan cara politik hari ini berubah.
PKR perlukan kedua-duanya.
Parti juga kena mula berfikir lebih jauh daripada Anwar Ibrahim. Hari ini Anwar ialah Perdana Menteri, Presiden PKR dan tokoh paling besar dalam sejarah parti. Pengaruhnya sudah tentu memberi kekuatan besar kepada PKR. Tetapi parti yang mahu bertahan lama tidak boleh bergantung selama-lamanya kepada seorang pemimpin.
Prestasi kerajaan dan kekuatan parti bukan perkara yang sama. Kerajaan boleh menghasilkan dasar yang baik tetapi cabang boleh jadi lemah. Angka ekonomi boleh naik tetapi rakyat masih rasa hidup sempit. Menteri boleh bekerja dengan baik tetapi parti di kawasan boleh semakin jauh daripada pengundi.
Sebab itu kerja menguatkan PKR sekarang penting.
Kepulangan bekas pemimpin tidak semestinya bermaksud parti sedang berpatah balik. Kalau diurus dengan baik, ia boleh menjadi sebahagian daripada usaha membina semula jaringan lama, menyatukan semula kelompok yang pernah berpecah dan menguatkan parti sebelum pilihan raya akan datang.
Sebagai ahli yang masih baru dalam PKR, saya melihat keputusan Anwar membuka pintu itu sebagai langkah yang betul. Tetapi saya juga faham kenapa ahli yang melalui tahun-tahun sukar bersama parti mungkin melihat perkara ini dengan lebih berhati-hati.
Kedua-dua pandangan itu perlu dihormati.
Akhirnya, kejayaan langkah ini bukan diukur melalui berapa ramai yang kembali atau sebesar mana nama mereka. Ukurannya ialah sama ada cabang menjadi lebih kuat, jentera lebih tersusun, pemimpin muda terus diberi ruang, mereka yang kembali benar-benar mahu bekerja dan pengundi yang pernah menjauh mula mahu mendengar semula.
Kalau semua itu berlaku, kepulangan mereka memang memberi makna.
Dan kalau PKR mampu menggabungkan kekuatan organisasi itu dengan dasar kerajaan yang betul-betul meningkatkan pendapatan, mengurangkan tekanan hidup dan menyediakan rakyat untuk masa depan, parti akan mempunyai sesuatu yang lebih penting daripada sekadar kuasa hari ini.
Ia akan mempunyai alasan yang lebih kuat untuk rakyat terus percaya esok.
MAHATHIR MOHD RAIS ialah bekas setiausaha Bersatu dan PN Wilayah Persekutuan yang kini menganggotai PKR.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/345345345345534_511144.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.