Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Malaysia tidak mengiktiraf Hamas walaupun mendukung pembentukan negara berdaulat Palestin kerana akur dengan ketetapan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang tidak mengiktiraf parti itu sebagai kerajaan Palestin, kata Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata demikian ketika menggulung usul mengutuk keganasan Israel terhadap Palestin menerusi kempen ketenteraan terhadap semenanjung Gaza bermula 14 November lalu.

"Oleh kerana Malaysia ahli kepada PBB, kita tiada pilihan melainkan tidak mengiktiraf Hamas.

"Tetapi kita mempunyai hubungan secara tidak langsung dengan Hamas sebagai sebuah parti yang menguasai (Palestin) atas pilihan rakyat Palestin untuk menubuhkan kerajaan," katanya.

Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) bangkit mencelah dan mengusulkan agar Parlimen Malaysia mengambil pendirian berbeza daripada pendirian kerajaan – dengan mengiktiraf Hamas sebagai kerajaan sah Palestin.

Mengulas perkara itu, Nazri menjelaskan bahawa sebarang keputusan Parlimen akan dianggap keputusan eksekutif yang merupakan kerajaan sedia ada.

"YB perlu faham sistem politik negara kita, parti yang menguasai Parlimen itu merupakan eksekutif.

"Jadi kalau Parlimen membuat keputusan yang bebas daripada eksekutif, sistem kita tak boleh sembunyi hakikat itu juga adalah (keputusan) kerajaan.

"Kita mesti berhati-hati dalam perkara ini kerana yang penting adalah menyelesaikan masalah Palestin dan bukan sama ada suatu

parti politik itu diiktiraf oleh kita atau tidak," katanya.

Beliau seterusnya memberikan komitmen kerajaan untuk terus berkempen agar Palestin diterima dalam PBB.

"Bagi kita yang penting ialah substance iaitu kita bagi dukungan dan sokongan kepada Palestin untuk menjadi bukan sahaja satu entiti tetapi akhirnya menjadi sebuah negara pemerhati dan seterusnya akan menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat," katanya.

Isu berkenaan pada akhir tahun lalu dibangkitkan ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang mempersoal pendirian kerajaan Malaysia kerana "selalu bercakap membela Palestin tetapi masih enggan mengiktiraf Hamas".

Beliau menggesa agar Malaysia berhenti mengikut telunjuk Amerika dan mengorak langkah mengubah nasib malang rakyat Palestin.

ADS