Kong: Kontraktor AES sedia kenderaan untuk JPJ

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha hari ini menjelaskan bahawa kontraktor Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) ditetapkan untuk menyediakan kenderaan penguatkuasaan untuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dalam satu ucapannya di Dewan Rakyat hari ini, beliau bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada kakitangan kontraktor tersebut dibenarkan untuk mengguna kenderaan tersebut.

"Di bawah perjanjian syarikat penyedia perkhidmatan perlu sedia kenderaan (tetapi) penguatkuasaan bukan dibuat syarikat, penguatkuasaan masih dibuat JPJ.

NONE"Oleh kerana itu kita tak boleh kata 'Oh! itu kereta itu taruh nama syarikat dan jalankan penguatkuasaan', bukan begitu.

"Penguatkuasaan bukan dijalankan mereka tetapi dijalankan JPJ sahaja yang berkuasa menyemak semua imej.

"Lepas kita puas hati dengan imej-imej itu baru pegawai JPJ sahaja yang boleh memuktamadkan saman," katanya.

Beliau mengulas isu yang dibangkitkan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) yang mendakwa kontraktor AES menggunakan kereta berlogo JPJ sewaktu memasang kamera itu di pelbagai lokasi.

Mahfuz semalam mendakwa dua kenderaan – satu didaftarkan atas nama Ates Sdn Bhd dan satu lagi atas nama Preferred Synergy Sdn Bhd – menggunakan warna dan logo JPJ.

Beliau turut menggesa polis menyiasat perkara itu mengikut Seksyen 170 dan Seksyen 171 Kanun Keseksaan, iaitu menyamar sebagai penjawat awam dan memakai pakaian atau membawa tanda yang digunakan oleh penjawat awam dengan niat untuk menipu.

Beliau membuat laporan polis atas dakwaan itu semalam.

[Berita penuh menyusul]

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.