Perwakilan rayu rakyat Kedah beri peluang kedua

Seorang perwakilan dari negeri Kedah hari ini merayu kepada rakyat negeri itu supaya memberi peluang kedua kepada Umno dan BN untuk mentadbir negeri berkenaan selepas kecundang pada pilihan raya umum Mac 2008.

Dalam ucapannya, Datuk Othman Aziz menegaskan, Umno Kedah berjanji "menjadikan negeri itu cemerlang, tidak mahu merosakkan kepercayaan rakyat, dan menjadikan negeri itu maju" jika berjaya merampas semula negeri itu.

"Kami merayu bagi peluang kali kedua... Tidak ada parti yang membela rakyat selain melalui Umno dan BN.

"Ahli Umno dan pemerhati di luar sana, marilah kita berjanji dengan YAB Presiden, bahawa kita akan bingkas bangun, tegas, bekerja kuat supaya menang dan mengambil balik negeri Kedah," katanya membahaskan ucapan dasar presiden.

Beliau turut menyeru supaya ahli dan jentera supaya bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk menunaikan kepercayaan presiden Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, golongan itu perlu bersatu padu bagi "mengembalikan kuasa kepada BN di negeri itu dan menunjukkan bahawa parti itu lebih baik daripada Pakatan Rakyat di negeri itu".

Beliau berkata demikian selepas membangkitkan beberapa persoalan yang menyentuh kelemahan pentadbiran Menteri Besar Kedah dari PAS Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Beliau antara lainnya membangkitkan isu penebangan balak untuk menjadi dusun dan ladang rakyat yang didakwa menjejaskan alam sekita serta masalah aliran tunai dan kekurangan pelajar yang didakwa dihadapi Kolej Universiti Insaniah (KUIN).

Selain itu, beliau turut menimbulkan dakwaan campurtangan dalam pentadbiran Perkhidmatan Awam Kedah, isu pelaburan di Kulim Hi-tech, dan isu kilang di Papua New Guinea.

"Bila tanya MB, (dia kata) saya tak tahu... Kita akan dedah bila tiba masanya," katanya.

Mengulas mengenai punca kekalahan Umno di negeri itu, Othman yang juga setiausaha Umno negeri berkata ia antaranya berpunca daripada tindakan kira-kira 4,000 ahli Umno yang tidak tidak keluar mengundi dan membuang undi rosak.

Katanya, tindakan itu membolehkan PAS memerintah negeri itu selepas menguasai lima kerusi dan dengan kelebihan undi kira-kira1600 undi atau 0.002 peratus sahaja.

"(Oleh) sebab itu kita akujanji, (situasi ini) tidak akan berulang pada pilihan raya akan datang," katanya sambil menambah pihaknya akan memujuk 292,012 pengundi atas pagar daripada lebih 1 juta orang pengundi di negeri itu dengan kerjasama Wanita Umno.

Katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan rakan komponen BN untuk menarik lebih 150,000 pengundi Cina, lebih 64,000 pengundi India dan termasuk masyarakat Siam.

Mereka juga akan bekerjasama dengan Pemuda dan Puteri serta NGO untuk menarik kira-kira 40 peratus pengundi muda yang berumur bawah 40 tahun menyokong parti itu.

Othman berkata kekerapan lawatan Najib dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddn Yassin ke negeri itu beberapa kali pada tahun lalu dan tahun ini, memberi isyarat bahawa "ada potensi mengambil balik" negeri itu daripada Pakatan Rakyat.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.