Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor Adenan Md Isa mahu orang ramai memahami bahawa pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) lebih bertujuan kepada menyelamatkan nyawa.

Malaysia, katanya, mencatatkan purata 20 kematian sehari akibat kemalangan jalan raya dan AES juga bukan bertujuan menghukum atau mencari salah pengguna jalan raya sebaliknya memastikan keselamatan sentiasa diutamakan.

Beliau berkata terdapat banyak kemalangan jalan raya membabitkan mereka yang tidak bersalah sebaliknya ia berpunca daripada kecuaian pengguna lain terutama ketika berada di lampu isyarat.

"Ada yang berhenti di lampu isyarat atau bergerak sebaik lampu bertukar hijau, namun kenderaan lain yang cuai dan melanggar peraturan menyebabkan mereka terbabit sama dalam kemalangan yang adakalanya mengundang maut," katanya pada sesi taklimat mengenai AES di Kompleks JPJ Selangor di Shah Alam hari ini.

Adenan berkata berdasarkan rekod pada 2010, sebanyak 450,000 kemalangan jalan raya membabitkan 7,000 kematian dicatatkan di negara ini.

"Bayangkan jumlah kematian yang tinggi akibat kemalangan jalan raya dan mampu memenuhi satu padang bola sekiranya dikumpulkan," katanya.

Beliau berkata penguatkuasaan AES juga dilakukan kepada semua pihak tanpa kompromi dalam usaha memastikan semua pengguna sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya.

"Semua pengguna tertakluk kepada penguatkuasaan AES kecuali kenderaan yang mengiringi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri, Sultan, perdana menteri dan timbalan perdana menteri serta tetamu kehormat dari luar negara.

"Begitu juga dengan kenderaan tentera dan milik kerajaan seperti kenderaan yang menjalankan tugas khas, menyelamat dan mengiring banduan termasuk ambulans, polis, penguatkuasa, bomba, kastam," katanya.

Kadar kompaun yang dikenakan ialah minimum RM300 dan tidak boleh dikurangkan, katanya pada sesi taklimat kepada wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penuntut Institusi Pengajian Tinggi dan wakil media.

Sistem AES dilaksanakan di 831 kawasan 'hitam' kemalangan termasuk di 270 lokasi lampu isyarat di mana setiap kamera di kawasan terlibat akan dipasang papan tanda isyaratn bagi membolehkan orang ramai berjaga-jaga sebelum tiba di kawasan berkenaan.

- Bernama

ADS