Sarung kamera AES di S'gor ditangguhkan, kata exco

Arahan untuk menyarung kamera Sistem Penguatkuasa Automatik (AES) di dua lokasi dalam Majlis Perbandaran Sepang (MPS) yang dijadualkan hari ini ditangguhkan atas nasihat pejabat peguam negeri, kata exco Selangor Ronnie Liu.

Beliau yang juga ADUN Pandamaran berkata nasihat tersebut dikeluarkan hari ini oleh pejabat berkenaan.

"Saya diberitahu oleh Yang Dipertua MPS bahawa penasihat undang-undang memberitahu supaya Majlismemberi masa yang secukupnya kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Syarikat Beta Tegap untuk menjawab arahan menutup kamera itu," katanya.

Setakat ini hanya terdapat dua kamera AES yang telah dipasang di Selangor dan kedua-duanya terletak dalam kawasan MPS.

Dua lokasi adalah di kilometer 66 Arah Kajang Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan kilometer 301.7 arah ke Kuala Lumpur Lebuhraya Utara Selatan. 

Kelmarin, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dilapor berkata kerajaan Selangor tidak akan menurunkan kamera itu tetapi hanya menutupnya dengan satu sarung dalam operasinya.

Katanya, tindakan itu merupakan sebahagian daripada tiga langkah berperingkat yang diambil kerajaan negeri dalam menangani kontroversi mengenai kamera AES.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPS) Mohd Sayuthi Bakar berkata pihaknya tidak menutup sendiri kamera itu di dua lokasi seperti yang umumkan oleh kerajaan negeri.

Sebaliknya, katanya, MPS telah mengarahkan JPJ dan syarikat Beta Tegap menutupnya sendiri kamera itu melalui notis seksyen 72(1)c Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 yang dikeluarkan pada 6 Disember 2012.

"Pihak Majlis akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang yang sedia ada setelah tempoh matang notis dikeluarkan," kata Mohd Sayuthi dalam satu kenyataannya hari ini.

[Baca berita penuh]

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.