Exco K'tan: PBT berhak saman bukan Islam

Exco kerajaan negeri Kelantan Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai kuasa untuk mengeluarkan saman ke atas orang bukan Islam bagi kesalahan berkelakuan tidak sopan.

NONETakiyuddin yang juga merupakan exco jawatankuasa kerajaan tempatan, pelancongan dan kebudayaan berkata, perkara itu termaktub di bawah Undang-undang Kecil Taman yang dikuatkuasakan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam.

Malah, saman ke atas orang bukan Islam seperti itu juga pernah dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, katanya.

"Dulu pernah ada satu kes, DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) menyaman satu pasangan bukan Islam yang dianggap berkelakuan tidak sopan di KLCC.

"Semua PBT ada undang-undang iaitu Undang-undang Kecil Taman. Undang-undang ini bukan ada di Kelantan sahaja. Semua PBT ada," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Takiyuddin juga menegaskan, hanya pihak yang diberi kuasa sahaja berhak mengeluarkan saman berkenaan.

Beliau diminta mengulas bidang kuasa pihak berkuasa tempatan di negeri itu untuk mengeluarkan saman ke atas orang bukan Islam, seperti dalam kejadian yang dilaporkan akhbar The Star semalam.

Sebelum itu, isu berkenaan telahpun menjadi tumpuan utama akhbar berbahasa Cina sejak seminggu lalu.

Menurut laporan The Star, pihak berkuasa berkenaan mengeluarkan saman ke atas dua orang lelaki bukan Islam kerana "berkhalwat" dalam satu kejadian di kawasan parkir lapangan terbang Sultan Ismail Petra pada lewat malam.

Dalam satu lagi kes, akhbar itu mendakwa seorang lagi lelaki disaman kerana mendukung teman wanitanya ketika berjoging di Taman Tengku Anis, di Kota Bharu.

Ketika ditanya, Takiyuddin bagaimanapun enggan mengulas mengenai dakwaan kesalahan yang dilakukan individu berkenaan.

Tambahnya, isu berkenaan mungkin akan dibincangkan dalam mesyuarat exco esok.

"Saya tak ada kuasa untuk bercakap. Kita Rabu ini ada mesyuarat exco. Mungkin akan dibincang," katanya lagi.

Kes yang dirujuk Takiyuddin adalah berhubung saman kontroversi yang dikeluarkan DBKL ke atas satu pasangan bukan Islam di Taman KLCC pada Ogos 2003.

Saman atas dakwaan kesalahan "bercumbu dan berpeluk" berkenaan dikeluarkan mengikut Seksyen 8(1) Undang-undang Kecil Taman (Wilayah Persekutuan) 1981, yang dicabar pasangan tersebut dan seterusnya berlarutan sehingga ke Mahkamah Persekutuan.

Kes pasangan terlibat, Ooi Kean Thong dan Siow Ai Wei mendapat sokongan wakil rakyat DAP, antaranya Fong Po Kuan (MP Batu Gajah), Chong Chieng Jen (MP Bandar Kuching) dan Anthony Loke (ADUN Lobak) dan.

Pemimpin DAP berkenaan mengadakan demonstrasi di hadapan bangunan DBKL pada April 2006 bagi membantah tindakan berkenaan.

Selain DAP, tindakan itu juga menerima kritikan keras daripada presiden Badan Peguam pada masa itu, Kuthubul Zaman Bukhari yang berpendapat saman berkenaan merupakan tindakan "semberono".

Katanya, berpeluk dan bercumbu merupakan perbuatan untuk meluah perasaan sayang dan perbuatan itu biasa dilihat masyarakat umum dalam rancangan televisyen.

Mahkamah Persekutuan bagaimanapun memutuskan DBKL bertindak mengikut perlembagaan dalam mendakwa dua pelajar universiti tersebut atas tuduhan berkelakuan tidak sopan di taman awam.

Korum mahkamah juga menolak permohonan kedua-duanya untuk merujuk isu perlembagaan berhubung kes tersebutke mahkamah.

Ia diputuskan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang bersidang bersama-sama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Alauddin Sheriff dan Datuk Richard Malanjum.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.