Lynas akan patuhi undang-undang dan peraturan

Lynas sekali lagi menegaskan bahawa mereka akan mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan oleh badan pengawal selia.

Sebagai respon kepada laporan media baru-baru ini yang dikatakan tidak tepat berhubung pemindahan sisa yang dihasilkan oleh Loji Bahan Lanjutan Lynas (LAMP), ia berkata Lynas akan mengubah sisa WLP, mengandungi bahan radioaktif pada tahap paling rendah yang terhasil secara semula jadi, kepada produk selamat secara komersial dipanggil 'Synthetic Aggregate'.

Ia berkata, pada 7 Disember, Lynas menjalankan demonstrasi di LAMP di Kuantan bagi menunjukkan kepada orang ramai dan media bahawa bahan mentah yang diimport itu adalah selamat kepada orang awam.

"Naib Presiden dan Pengarah Urusan kami, Datuk Mashal Ahmad di sepanjang taklimat dan demonstrasi itu langsung tidak menyatakan bahawa sisa itu akan kekal di Malaysia," kata Lynas dalam satu kenyataan di Kuantan semalam.

Ia menyatakan Mashal dengan jelas menyebut bahawa Synthetic Aggregate akan dieksport ke ngara lain sejajar dengan Piawaian dan Peraturan Antarabangsa dan Tempatan di mana ia akan digunakan sebagai bahan kejuruteraan awam.

Lynas turut mengulangi kenyataan bahawa kilang untuk mengubah sisa WLP telah dibina di LAMP dan kini siap sedia untuk beroperasi.

"Lynas kini meneliti semua berita akhbar bagi mengenalpasti laporan yang sengaja memaparkan Lynas sebagai menipu orang ramai dan Kerajaan Malaysia," tambah kenyataan itu.

-Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.