Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS mahu pengarah operasi SPR Sabah berundur

Pemuda PAS hari ini menuntut pengarah operasi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah, Aksyah Nasrah supaya berundur – sama ada dari jawatan tersebut atau sebagai ketua penerangan Pemuda Umno Kinabatangan – demi menjaga kepercayaan masyarakat ke atas suruhanjaya itu.

Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu berkata Aksyah perlu memutuskan antara dua pilihan berkenaan memandangkan timbul kebimbangan apabila terdapat pengarah SPR yang menjawat jawatan dalam parti yang bertanding.

NONE "Dia (Aksyah) perlu letak jawatan. Sebab kebimbangan kita ialah bila ada orang yang bertanding dalam pilihan raya, bagaimana kita nak percaya SPR.

"Semua unsur berat sebelah perlu dikeluarkan. Selagi ada orang begini iaitu ahli Umno dalam SPR, selagi itu kepercayaan dalam SPR akan jatuh," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

Gesaannya hari ini dibuat dakwaan dalam sidang media pada Sabtu lalu bahawa terdapat anggota Umno dalam SPR Sabah.

Lahirul berkata, perkara seperti itu tidak boleh berlaku kerana akan menjejaskan kredibiliti SPR sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab bagi memastikan pelaksanaan demokrasi di negara ini.

Dakwaan itu dijelaskan pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, seperti dilaporkan laman The Malaysian Insider semalam, yang menegaskan bahawa pegawainya mempunyai hak demokrasi untuk menyertai politik tetapi tidak boleh memihak semasa menjalankan tugas.

“Tidak salah untuk mana-mana pegawai SPR menyertai parti politik. Tidak kisahlah sama ada menyertai PAS, PKR ataupun Umno.

NONE “Itu hak demokrasi,” kata Abdul Aziz dipetik dalam laporan laman tersebut.

Lahirul bagaimanapun tidak berpuas hati dengan penjelaskan Abdul Aziz dan menggesa supaya SPR lebih tegas bagi memastikan tiada orang politik di dalam suruhanjaya berkenaan.

"Dia kata tak jadi masalah. Bila dalam bola, pasukan dan pengadil ialah orang yang sama, macam mana kita mahu tahu ianya adil?

"Individu ini orang yang penting dalam Umno. Bagi saya, tak patut berlaku dalam suasana kita nak menghadapi pilihan raya ini.

"SPR sepatutnya tegas. Tak perlu dan tak boleh berlaku dalam suruhanjaya pilihan raya yang bebas adanya mana-mana parti politik di dalamnya," kata Lahirul lagi.

ADS