Dua lagi 'baby hatch' akan dibuka

Dua lagi pusat perlindungan bayi atau 'baby hatch' akan dibuka tidak lama lagi iaitu di Johor Bahru, Johor dan Kota Bharu, Kelantan dalam usaha berterusan memerangi kes pembuangan bayi terutama kelahiran luar nikah.

Pengerusi Yayasan OrphanCare Tan Sri Faizah Tahir berkata dua pusat itu  dijangka mula beroperasi pertengahan bulan ini dan pembukaan rasmi dirancang Mac depan.

"Perkhidmatan sebegini amat penting kerana 'baby hatch' dapat menempatkan bayi dengan selamat untuk ibu-ibu terdesak sebelum bayi diserah kepada penjaga baharu," katanya kepada pemberita selepas lawatan penyanyi Amerika, Jermaine Jackson dan isteri Halima Rashid ke ibu pejabat OrphanCare di Kampung Tunku di Petaling Jaya hari ini.

Faizah berkata apabila pusat di Bandar Baru Uda, Johor Baharu dan Pengkalan Chepa, Kota Baharu dibuka nanti, yayasan itu turut bercadang mewujudkan pusat perlindungan untuk remaja mengandung.

Lawatan itu dihoskan oleh penaung OrphanCare, Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom.

Jermaine, seorang daripada anggota kumpulan terkenal 'Jackson 5' yang dianggotai adik beradiknya termasuk adiknya penyanyi terkenal mendiang Michael Jackson, menghadiri pelancaran OrphanCare pada April 2009.

Faizah berkata pihaknya bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) juga bercadang membuka 'baby hatch' di Pulau Pinang tahun hadapan.

Beliau berkata 'baby hatch' yang disediakan di bangunan ibu pejabat OrphanCare itu menerima empat bayi tanpa sebarang dokumen serta 67 bayi yang diserah sendiri oleh ibu atau bapa mereka, sejak dibuka pada Mei 2010.

Tegas beliau, pihaknya sentiasa berhati-hati dalam memilih keluarga angkat untuk bayi yang diserahkan dengan memastikan hanya pasangan yang sesuai terpilih untuk mendapat hak penjagaan.

"Pemantauan ke atas bayi sering dilakukan selepas mereka diserahkan kepada keluarga angkat bagi memastikan mereka dijaga dengan baik, dan setakat ini semua bayi yang diambil keluarga angkat berada dalam keadaan baik dan selamat malah begitu dimanjakan," katanya.

Memetik statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Faizah berkata 31 bayi dibuang antara Januari dan Jun tahun ini manakala 98 bayi dibuang tahun lepas, 91 pada 2010, 40 pada 2009 dan 58 pada 2008.

Sementara itu, Sultanah Kalsom bertitah baginda gembira melihat perkhidmatan yang ditawarkan OrphanCare dihargai oleh masyarakat.

"Beta dapat lihat semakin ramai orang menggunakan perkhidmatan ini dan lebih banyak bayi diserahkan. Kita semua patut berasa gembira kerana nyawa manusia sedang diselamatkan," titah baginda.

Jermaine memuji perkhidmatan yang ditawarkan oleh OrphanCare, menyifatkannya sebagai 'penyelamat nyawa'.

"Mereka lakukan kerja yang hebat dalam memastikan bayi-bayi berada dalam jagaan baik. Bayi-bayi memerlukan sebuah keluarga dan adalah amat penting untuk mengasihi mereka," kata penyanyi itu yang berada di Malaysia untuk menjayakan konsert 'The Jacksons Unity Tour 2012' esok di Stadium Negara.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.