'Ada kemungkinan besar Musa Aman boleh didakwa'

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli menjangkakan kemungkinan besar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman akan didakwa pihak berkuasa Hong Kong atas tuduhan pembersihan wang haram.

Rafizi berkata demikian dengan memetik kenyataan naib pengerusi kepada satu panel yang menyelia Suruhanjaya Bebas Mencegah Rasuah (ICAC) Hong Kong, James To.

NONEKatanya, beliau turut menyerahkan dokumen yang didakwanya sebagai bukti baru dalam kes sumbangan politik RM40 juta pada Umno Sabah kepada ahli majlis perundangan Hong Kong itu.

"James To memaklumkan bahawa ada kemungkinan besar Musa Aman boleh didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram yang undang-undangnya lebih ketat di Hong Kong berbanding negara-negara lain.

"Jika didapati bersalah, pihak berkuasa Hong Kong boleh mengeluarkan waran tangkap melalui Interpol dan boleh dikuatkuasakan di Malaysia," kata Rafizi dalam kenyatannya.

Rafizi turut yakin bahawa dokumen yang dikemukakannya itu adalah bukti baru yang tidak diperolehi ICAC sebelum ini.

Antara lainnya, dokumen itu  adalah salinan yang didakwa sebagai slip deposit wang ke akaun didakwa melibatkan Michael Chia serta akuan bersumpah bekas timbalan pengerusi perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin.

Menurut Rafizi, beliau yakin ICAC akan memanggil seorang saksi rahsia bagi "memberi keterangan dan maklumat dalaman mengenai Michael Chia kepada ICAC".

Bagaimana pun, beliau tidak dapat mendedahkan maklumat lanjut tentangnya kerana diminta ICAC untuk melindungi kerahsiaan siasatan.

"Oleh yang demikian kami tidak boleh menyatakan secara terperinci hasil perbincangan atau pun mendedahkan rancangan seterusnya seperti diputuskan ICAC," katanya.

Susulan perkembangan terbaru kes ini, PKR menurutnya akan menjelajah seluruh Malaysia untuk berkempen bagi meningkatkan tekanan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Peguam Negara menyiasat kembali kes itu.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.