AMK buat laporan desak polis siasat pendedahan Deepak

Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini membuat laporan meminta polis menyiasat pendedahan ahli perniagaan Deepak Jaikishan berhubung penyediaan akuan bersumpah (SD) kedua penyiasat persendirian P Balasubramaniam.

Laporan itu dibuat oleh Ketua AMK Shamsul Iskandar Md Akin di ibupejabat polis Petaling Jaya pada jam 12.07 pagi ini.

NONELaporan itu dibuat berdasarkan pendedahan Deepak yang diterbitkan oleh portal Harakahdaily (edisi video) dan Keadilan Daily pada 12 Disember lalu.

Dalam laporan polis itu, Shamsul berkata, Deepak menceritakan latarbelakang penyediaan SD kedua itu secara terperinci yang didakwanya mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Rosmah Mansor dan seorang peguam yang namanya tidak dinyatakan.

Dalam laporan polis itu juga, Shamsul juga berkata, Deepak mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih berminat untuk menutup kes tersebut selepas pendedahan SD itu.

Sehubungan itu, kata Shamsul, hal demikian menimbulkan persoalan antaranya apakah kepentingan Najib dan Rosmah yang didakwa memanggil Deepak - sepertimana yang didakwa oleh peniaga permaidani itu -  pada hari Balasubramaniam mendedahkan SD pertamanya.

Sehubungan itu, Shamsul mendesak supaya siasatan kes pembunuhan wanita Mongolia itu dibuka semula.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.