'Baucer subsidi RM520, tapi masih kena tambah sendiri'

Rata-rata pemandu teksi mengeluh dengan Program Bantuan Tayar 1 Malaysia (BT1M) yang merupakan program dibawah Teksi Rakyat 1 Malaysia (TR1MA)- sebuah program insentif bagi pemandu teksi menerima baucer subsidi tayar sebanyak RM520 bagi penggantian empat tayar untuk tempoh dua tahun.

Menurut pemandu teksi yang ditemui Malaysiakini pada perhimpunan pemandu teksi bersama pemimpin Pakatan Rakyat kelmarin,  baucer tersebut tidak mencukupi memandangkan mereka terpaksa membayar wang tambahan kepada bengkel yang membuat penukaran tayar tersebut.

NONES Mahesan, 53, yang sudah bekerja sebagai pemandu teksi selama
dua tahun berkata, baucar tersebut sepatutnya membantu pemandu teksi meringankan beban untuk menukar tayar, tetapi sebaliknya berlaku.

Katanya, ramai pemandu teksi lain turut mengalami keadaan sama apabila terpaksa membayar wang sekitar RM30 bagi dua tayar serta terpaksa membayar wang upah pemasangan tayar.

"Dia (kerajaan) bagi tayar. Tapi lepas ambil tayar, orang bengkel caj dua tayar RM30, kalau empat tayar sudah kena RM60. Sepatutnya percuma tapi kena bayar. Pasang tayar pun dia caj kita. Kadang-kadang bengkel kata tayar tak ada.

"Kalau kata bantuan penuh jangan kasi keluar duit dari poket kita lah," katanya.

NONESelain itu, bagi Khalid Hasni, 42, yang sudah memandu teksi hampir 10 tahun di sekitar Lembah Klang memberitahu, masalah lain yang dihadapi oleh pemandu teksi berhubung pemberian baucar tersebut ialah tayar yang diberi merupakan tayar bersaiz 13.

Jelas Khalid, ia menyukarkan bagi pemandu teksi jenis Proton Waja yang menggunakan tayar bersaiz 14.

"Tayar saiz 13 ini biasanya pada kereta Proton Iswara, Wira, Saga. Size 14 untuk (Proton) Waja. Tapi baucer itu untuk tayar saiz 13, jadi pemandu teksi Waja kena tambah harga lebih banyak.

"Nak kata (baucar) tak membantu langsung tak ada lah. Tapi tak membantu sangatlah sebab kita masih perlu keluarkan duit sendiri," katanya.

NONEBagi S Vineswaran, 42, yang memandu teksi hampir empat tahun pula berkata, daripada baucar RM520 tersebut, pemandu teksi jenis
Proton Waja perlu menambah wang kira-kira sebanyak RM400 bagi empat biji tayar.

Vineswaran berkata, harga tersebut mahal memandangkan harga tayar bagi sebuah kereta Proton Waja berharga RM230.

"Macam saya, nak tukar satu tayar harga RM230. Empat tayar RM920. Baucer itu cukup untuk dua tayar sahaja. Lagi dua tayar saya kena tambah sendiri. Itu tak termasuk upah untuk pemasangan, balancing.

"Banyak lagi masalah pemandu teksi. Macam masalah dengan (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer) PUSPAKOM, dengan masalah ulat teksi lagi. Tipulah kalau kerajaan tak tahu tentang benda ini," katanya lagi.


 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.