'Larangan kalimah Allah bercanggah keputusan mahkamah, pekeliling PM'

Peguam Annou Xavier telah menulis surat kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyatakan bahawa kenyataan MAIS berkaitan isu kalimah 'Allah' bercanggah dengan semangat perlembagaan persekutuan, yang menjamin kebebasan beragama, serta bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 dalam kes Jill Ireland yang membabitkan 'CD Allah'.

harapan community menteri besar 250811 annou xavierAnnou (kiri), dalam surat tiga halaman kepada MAIS, menyatakan
Mahkamah Tinggi telah memerintahkan Jill Ireland Lawrence Bill -  seorang Melanau beragama Kristian yang diwakilinya - hak sepenuhnya untuk terus memiliki, memperolehi dan menggunakan apa-apa penerbitan dan bahan-bahan yang mengandungi kalimah Allah dalam mengamalkan agama sendiri.

Perintah mahkamah itu pada 4 Mei 2009, tegas Annou, menyatakan bahawa: Pemohon diberi suatu deklarasi bahawa ianya harapan sah (legitimate expectation) untuk pemohon menggunakan dan/atau terus menggunakan istilah "Allah" serta mempunyai hak memilik, memperolehi, menggunakan dan mengimport bahan yang dicetak dan diterbit termasuk Penerbitan, walaupun bahan dan penerbitan tersebut mengandungi perkataan "Allah" bagi menjalankan kebebasan pengamalan ugama sendiri.

Annou turut menarik perhatian MAIS terhadap satu pekeliling, bertarikh 11 April 2011 dan disahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak sendiri, yang menyatakan bahawa kerajaan telah bersetuju bahawa orang bukan Islam boleh mengimport, membeli, mencetak, menerbit, mengedar, membaca dan menggunakan bible dalam sebarang bahasa, termasuk Bahasa Malaysia.

"Tujuan kami membawa keperhatian MAIS terhadap perintah kes mahkamah tersebut serta pekeliling dari Jabatan Perdana Menteri adalah disebabkan baru-baru ini, MAIS telah menyuarakan dan menimbulkan isu penggunaan kaliman "Allah" secara satu hala dan gagal serta abai untuk mempertimbangkan keputusan mahkamah tersebut serta surat pekeliling dari Jabatan Perdana Menteri.

"Tindakan MAIS yang tidak sejajar dan bertentangan dengan perintah kes mahkamah tersebut seolah-olah memperlekehkan dan tidak menghormati keputusan mahkamah tersebut.

"Justeru, kami ingin membawa keperhatian MAIS bahawa setiap kumpulan agama di Malaysia berhak untuk menguruskan hal-ehwal agamanya tersendiri tanpa campurtangan oleh pihak-pihak lain. Ini adalah tertera di bawah Perkara 11(3) Perlembagaan Persekutuan Malaysia," katanya.

Sehubungan itu, Annou berharap MAIS tidak akan mengungkit lagi isu penggunaan kalimah Allah.

Sebaliknya, kata beliau, MAIS hendaklah menghormati keputusan mahkamah tersebut serta hak kebebasan beragama setiap kaum di tanahair demi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Selain kes tersebut, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga telah membuat keputusan penting pada 31 Disember 2009, mengisytiharkan bahawa tindakan Kementerian Dalam Negeri melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam adalah batal dan tidak sah.

sultan of selangor sharafuddin idris shahBagaimanapun, kes itu kini di peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan.

MAIS, dalam kenyataannya Selasa lalu, mengumumkan titah  Sultan
Selangor bahawa kalimah Allah tidak boleh sama sekali digunakan di negeri Selangor oleh mana-mana agama bukan Islam yang lain sebagaimana yang telah difatwa dan diwartakan pada 18 Februari 2010.

Pakatan Rakyat dan PAS Presiden Abdul Hadi Awang juga mengumumkan Selasa lalu kesepakatan pembangkang bahawa Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah 'Allah', tetapi mengingatkan semua pihak bahawa penggunaannya tidak boleh disalahgunakan.

 

 

 

 

 

 

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.