Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pengerusi penganjur Himpunan Kebangkitan Rakyat Mohamad Sabu hari ini dengan menyindir berkata himpunan yang berlangsung pada 12 Januari lalu sememangnya bertujuan untuk menggulingkan kerajaan dalam pilihan raya umum akan datang.

"Memang kami mahu gulingkan kerajaan dalam pilihan raya umum akan datang," kata naib presiden PAS itu secara berjenaka dalam satu sidang media pagi tadi.

NONE "Jadi (bekas perdana menteri) Tun Mahathir (Mohamad) jangan bimbang. Dia boleh berada di Malaysia atau bercuti di mana-mana jika kami mengambil alih Malaysia," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Mahathir yang dilaporkan mendakwa himpunan Sabtu lalu, yang menarik kehadiran 100,000 orang di Stadium Merdeka itu bertujuan menjatuhkan kerajaan BN.

Mahathir mendakwa penganjur himpunan itu cuba meniru perkara yang berlaku di beberapa negara Arab kerana tidak mampu untuk menang dalam pilihan raya umum akan datang.

"Jadi mereka cuba menggulingkan kerajaan sekarang dengan meniru negara-negara Arab. Tetapi Malahysia bukan seperti mereka, kita tidak ada pemerintahan diktator, kerajaan kita dipilih oleh rakyat," katanya seperti dilaporkan Bernama .

Dalam sidang media pagi tadi, Mohamad Sabu turut mengumumkan baki daripada derma sebanyak RM268,802.10 yang dikutip sewaktu himpunan itu disalurkan kepada Tabung Impian Rakyat Malaysia.

Katanya, golongan yang ingin membuat sumbangan masih boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank bernombor 5621-0623-5615 atas nama Tabung Impian Rakyat Malaysia.

"Tabung ini kita akan gunakan untuk kegiatan penerangan, kebajikan dan gerakan untuk mendemokrasikan Malaysia," katanya.

ADS