Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Awang Adek: Umno Bachok sedia hadapi pengganti Nasha

Umno Bachok bersedia menghadapi siapa juga yang dicalonkan PAS bagi menandingi kerusi parlimen Bachok pada pilihan raya umum ke-13 selepas penyandangnya Nasharuddin Mat Isa digugurkan daripada senarai calon.

Ketuanya Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata Umno Bachok telah melaksanakan pelbagai gerak kerja sejak beberapa tahun lepas bagi memastikan kerusi itu menjadi milik Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

"Kami yakin kemenangan akan berpihak kepada BN dalam mencapai misi pelaksanaan Bachok Baru Bachok Maju," katanya kepada pemberita selepas penyampaian Bantuan Awal Persekolahan kepada 470 murid Sekolah Kebangsaan Beris Lalang di Bachok hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengesahkan Nasharuddin tiada dalam senarai calon PAS bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Mengulas lanjut, Awang Adek berkata tindakan PAS menyingkirkan Nasharuddin daripada Majlis Syura Ulama PAS akan membuka mata penyokong parti itu dan pengundi atas pagar mengenai sikap sebenar PAS apabila ada pemimpinnya akrab dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Rakyat khususnya penyokong PAS di Bachok pastinya tidak dapat menerima tindakan sedemikian dan mereka sedih serta terkejut apabila anggota parlimen mereka diperlakukan sedemikian tanpa memberi peluang untuk membela diri," katanya.

Sehubungan itu beliau mengajak pengundi di Bachok agar memberi sokongan kepada BN yang mahu membangunkan daerah berkenaan selepas pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, Awang Adek yang juga timbalan menteri kewangan, berkata walaupun tidak mentadbir Kelantan, BN yang meneraju kerajaan pusat tidak pernah mengabaikan tanggungjawab membela nasib penduduk Kelantan.

Setiap bantuan diberi tanpa diskriminasi, tanpa melihat fahaman politik individu, katanya.

-Bernama

ADS