Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis siasat dakwaan pengerusi Mywatch diugut ditembak

Polis Negeri Sembilan telah menubuhkan pasukan untuk menyiasat dakwaan Pengerusi Pasukan Petugas Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) R Sri Sanjeevan baru-baru ini yang polis mengugut untuk menembaknya kerana mendedahkan aktiviti perjudian siber di Jelebu.

    

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Hamdan Majid berkata Sanjeevan dalam laporan polis yang dibuat pada 29 Januari lepas, juga mendakwa polis daerah Jelebu melindungi aktiviti perjudian di daerah itu.

    

"Dia mentohmahkan bahawa semasa dia berada di lokasi di mana dilaporkan wujudnya aktiviti perjudian ini telah datang tiga anggota polis tetapi tiga anggota polis ini tidak mengambil sebarang tindakan," katanya dalam sidang media di Seremban hari ini.

    

Katanya pasukan itu akan menyiasat dakwaan itu secara terperinci bagi memastikan kesahihannya.

    

Dalam pada itu, Hamdan menafikan polis melindungi pusat perjudian di Jelebu dengan menegaskan polis melakukan 66 serbuan pada 2011, 153 serbuan pada 2012 dan 12 serbuan pada Januari tahun ini.

Berhubung dakwaan anggota polis yang datang ke lokasi perjudian tidak mengambil sebarang tindakan, beliau berkata mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 atau Akta Rumah Judi Terbuka 1953, hanya pegawai polis berpangkat inspektor ke atas sahaja boleh masuk premis dan buat serbuan dan rampasan.

    

"Jadi, kehadiran ketiga-tiga anggota polis di situ jelas menunjukkan bahawa mereka tidak mempunyai kuasa...kalau perjudian siber kita memerlukan pakar judi yang pakar dalam bidang siber, tapi di daerah Jelebu kita tidak mempunyai pakar siber.

    

"Jadi, kalau maklumat diterima malam tu secara tiba-tiba saja, jadi kita tidak dapat membuat persiapan (dapatkan pakar siber) sebagainya...kita kena buat perancangan dan barulah mengambil tindakan supaya serbuan yang dilakukan itu mendatangkan impak positif," katanya.

- Bernama

ADS