Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BN yakin tawan parlimen Parit Buntar dan Bagan Serai

Barisan Nasional (BN) mempunyai potensi untuk mengambil kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parit Buntar dan Bagan Serai pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, kata naib presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata keyakinan BN untuk menawan semula kerusi Parlimen dan DUN itu timbul berikutan kegagalan penyandang kerusi dari parti pembangkang membawa pembangunan di kawasan berkenaan.

"Apa yang kita dapat bila kita memilih calon pembangkang?...rakyat perlukan pembangunan," katanya ketika berucap pada majlis pemimpin bertemu rakyat di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanjung Piandang, Parit Buntar, hari ini.

Pada PRU ke-12 pada 2008, kerusi Parlimen Parti Buntar dimenangi oleh Dr Mujahid Yusof Rawa dari PAS dan dua kerusi DUN di bawah Parlimen itu iaitu Titi Serong disandang oleh Dr Khalil Idham Lim (PAS) dan Kuala Kurau oleh Abdul Yunus Jamahari dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kerusi Parlimen Bagan Serai dimenangi oleh calon PKR, Muhsin Fadzli Samsuri manakala kerusi DUN Alor Pongsu dimenangi calon BN Sham Mat Sahat dan DUN Gunung Semanggol oleh calon PAS, Ramli Tusin.

Ahmad Zahid, yang juga menteri pertahanan, berkata kekalahan BN di kawasan tersebut bukan disebabkan pembangkang kuat sebaliknya ia disebabkan oleh masalah dalaman dan percanggahan pendapat dalam kalangan ahli parti.

Justeru itu, beliau berkata permasalahan lama yang dihadapi oleh jentera pilihan raya BN di kedua-dua kawasan itu harus diselesaikan segera supaya dapat bangkit semula daripada kekalahan lima tahun lepas.

Beliau turut memberi jaminan bahawa calon BN pada PRU ke-13 di kawasan itu adalah daripada kalangan anak tempatan.

"Rakyat kena sokong siapa sahaja calon supaya BN dapat semula kerusi di kawasan-kawasan itu sekiranya mahu kawasan itu membangun dan menikmati pelbagai kemudahan," katanya.

-Bernama

ADS