Senator Australia diusir pulang selepas ditahan 15 jam

dikemaskini Senator Australia Nick Xenophon telah diusir pulang pada pukul 10.30 malam ini selepas ditahan selama 15 jam di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) kerana didakwa menjadi 'musuh negara'.

Xenophon, yang mendarat di terminal LCCT di Sepang pada jam 6:40 pagi tadi dengan penerbangan AirAsia, ditahan pihak berkuasa Imigresen sebaik saja tiba.

Xenophon memberitahu akhbar Sunday Mail Australia bahawa beliau sedang ditahan di kawasan dengan semua sel tahanan penuh dengan wanita.

Katanya, beliau dimaklumkan yang beliau merupakan "musuh negara" dan akan dihantar menaiki penerbangan berikutnya untuk pulang ke negaranya.

Menurut senator itu, walaupun tidak dibenarkan membuat sebarang panggilan telefon, tetapi beliau sempat menghubungi akhbar Australia itu ketika ditinggalkan bersendirian dalam bilik soal siasat.

Ketua Kakitangan pejabat Ketua Pembangkang, Ibrahim Yaakob, yang bergegas ke LCCT untuk menguruskan perkara itu, memberitahu Malaysiakini bahawa pegawai imigresen mendapati nama Xenophon telah disenaraihitamkan dalam sistem jabatan tersebut.

"Para pegawai tidak menyatakan sebarang sebab lain, tetapi Xenophon memberitahu kami bahawa dia dimaklumkan bahawa dia ialah musuh negara ini," kata Ibrahim ketika dihubungi.

Ibrahim juga berkata Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia telah tiba di LCCT dan sedang berusaha untuk menghubungi kementerian luar Malaysia.

Sementara itu, peguam Mohd Radzlan Jalaludin, yang berjaya bertemu dengan Xenophon, memberitahu Malaysiakini bahawa senator itu ditahan di bawah Seksyen 8 (3) Akta Imigresen sebagai seorang yang "dilarang '.

"Beliau baik, dilayan dengan baik. Mereka sediakannya makan tengah hari, "katanya.

Akan dihantar pulang

Menurut AFP, Menteri Luar Australia Bob Carr berkata pegawai Australia telah berhubung dengan Xenophon, serta menteri  luar dan menteri dalam negeri Malaysia, dan sedang mengusahakan 'pembebasanya' dengan segera.

"Penahanan Senator Xenophon adalah satu tindakan yang mengejutkan dan mengecewakan dari sebuah negara yang Australia sentiasa mengekalkan hubungan diplomatik yang kukuh," katanya dalam satu kenyataan.

Senator bebas adalah sebahagian daripada delegasi empat anggota Australia yang mengambil inisiatif untuk meneliti sistem pilihan raya Malaysia selepas kerajaan Australia menolak permohonan Anwar mendapatkan pemerhati bebas bagi memantau pilihan raya umum akan datang.

Tiga lagi anggota delegasi itu ialah MP Mal Washer, Senator John Williams, dan MP Steve Georganas.

Delegasi itu dijadualkan bertemu dengan Anwar pada hari Isnin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz pada hari Selasa, serta NGO lain dan ahli parlimen pembangkang.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka masih belum berlepas ke Malaysia.

Menurut Ibrahim, mereka telah memutuskan untuk membatalkan lawatan mereka selepas apa yang berlaku kepada Xenophon.

"Ini akan menjejaskan nama Malaysia di peringkat antarabangsa," katanya.

Xenophon menghadiri perhimpunan BERSIH 3.0 tahun lepas sebagai pemerhati antarabangsa dan turut menjadi sasaran gas pemedih oleh polis anti-rusuhan, yang menyuraikan peserta demonstrasi menuntut reformasi pilihan raya itu. 

'Arahan dari atas'

Xenophon memberitahu ABC News 24 Australia bahawa beliau tidak menjangka akan ditahan semasa ketibaannya di Kuala Lumpur.

Katanya, pegawai imigresen berkenaan "sangat sopan" tetapi mereka memberitahunya bahawa mereka menerima "arahan dari atas" untuk menahannya.

"Saya mendapatinya luar biasa. Saya pernan ke sini sebelum ini [dan] Saya telah membuat kenyataan mengenai keadaan demokrasi di Malaysia sebelum ini.

"Tetapi pada kali ini jelas seseorang yang berkuasa dalam kerajaan Malaysia tidak mahu saya di sini," katanya.

Xenophon cemar imej Malaysia

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Alias Ahmad berkata dalam mesej teks kepada AFP bahawa Xenophon telah "mencemarkan imej negara ini" dan telah diklasifikasikan sebagai "pendatang yang dilarang".

Beliau kemudian menjelaskan dalam satu kenyataan bahawa Xenophon telah disenaraihitamkan kerana beliau menghadiri "protes jalanan haram" di Kuala Lumpur tahun lepas.

"Malaysia adalah sebuah negara yang bebas dan demokratik, tetapi tiada siapa yang mengatasi undang-undang. Pihak berkuasa akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mana-mana individu yang dianggap telah melanggar undang-undang negara," kata Alias.

"Xenophon telah memasuki Malaysia untuk beberapa kali sebelum ini dan dia telah mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti haram yang melanggar undang-undang Malaysia," katanya dalam kenyataannya.

Alias menjelaskan bahawa senator itu juga didapati telah membuat dakwaan tidak berasas dan menyebarkan pembohongan mengenai Malaysia.

"Larangan masuk terhadap Xenophon adalah prerogatif kerajaan Malaysia, selaras dengan undang-undang dan perlembagaan negara," katanya.

Xenophon berkata beliau menghadiri perhimpunan reformasi pilihan raya April lalu sebagai pemerhati sambil mengkaji sistem pilihan raya Malaysia.

"Ia nampak seolah-olah bahawa kerajaan takut diteliti," katanya melalui telefon dari lapangan terbang.

"Ini dalam fikiran saya mengesahkan bahawa mereka (pilihan raya) tidak akan menjadi adil."

[Baca berita penuh]

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.