Jejambat runtuh dalam kejadian dekat Cyberjaya

Satu jejambat di kawasan dekat Selangor Science Park 2 Interchange, Cyberjaya runtuh dalam satu kejadian petang ini.

Beberapa gambar yang menunjukkan jejambat yang sedang dibina itu dikesan tersebar di laman Facebook dan Twitter.

Tulisan di Twitter menyebut, tiada individu yang cedera akibat kejadian tersebut memandangkan jalan itu ditutup kepada pengguna.

Sementara itu, laporan Bernama menyebut jejambat tersebut, terletak di antara Plaza Tol Putrajaya dan Putrajaya/Cyberjaya di Lingkaran Putrajaya.

Laporan itu memetik kenyataan jurucakap Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang berkata jejambat tersebut berada bawah seliaan perbadanan tersebut.

Difahamkan kejadian itu berlaku pada 1 tengah hari dan ia tidak mengganggu sebarang lalu lintas.

Laporan China Press pula menyebut jejambat berkenaan yang dibuka sebelum ini ditutup untuk pembaikan apabila keretakan dikesan di permukaan jalannya.

Laporan yang memetik sumber itu berkata, jambatan tersebut dibina berhampiran tebing sungai dengan tanah yang longgar.

[Baca berita penuh]

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.