Polis masih cuba bawa keluar anggota yang gugur

Pasukan keselamatan Malaysia masih belum berjaya membawa keluar kesemua lima mayat anggotanya yang menjadi korban kumpulan bersenjata dalam kejadian pada malam semalam di Semporna.

Ketua polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata pertentangan di antara pasukan keselamatan kita dengan kumpulan bersenjata tersebut, dianggarkan kurang dari 10 orang, masih berlarutan di Kampung Sri Jaya Simunul.

Katanya, polis menjalankan usaha untuk membawa keluar mayat berkenaan daripada perkampungan yang terdiri daripada rangkaian rumah di atas air itu.
 
Bercakap dalam sidang media di Lahad Datu hari ini, beliau berkata operasi tersebut berbahaya jika dilakukan pada waktu malam.

Hamzah ketika diminta menjelaskan berkata, sebahagian daripada mayat berkenaan telah dikeluarkan namun beliau enggan mendedahkan jumlahnya.

Ditanya sekiranya penduduk kampung itu juga terkorban, Hamzah berkata beliau tidak dapat memastikan perkara itu.

Tambahnya, polis juga hanya akan dapat memastikan keadaan mayat anggota berkenaan selepas bedah siasat.

Ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar pagi ini berkata lima anggota polis terbunuh akibat serang hendap selepas memasuki kampung berkenaan susulan dakwaan terdapat individu membawa senjata di kampung tersebut.

Hamzah berkata polis sedang menyiasat sama ada kumpulan bersenjata tersebut baru tiba atau sudah lama menetap di situ.

[Baca berita penuh]

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.