Laporan dakwa 30 ditemui terbunuh lepas pengeboman

Laporan akhbar tempatan hari ini mendakwa seramai 30 orang penceroboh Sulu terbunuh dalam serangan besar-besaran melalui Ops Sulu, yang kemudiannya dinamakan Ops Daulat, di pantai timur Sabah semalam.

“Jumlah tersebut menjadikan keseluruhan pengganas Sulu yang berjaya ditumpaskan ATM dan PDRM sehingga kini ialah 49 orang, manakala di pihak anggota keselamatan negara tiada sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa berlaku dalam operasi itu,” laporan Utusan Malaysia dipetik.

Laporan yang tidak menyatakan sumber maklumat itu juga menyebut, terdapat “khabar” yang menyatakan pemimpin kumpulan berkenaan Raja Muda Azzumudie terbunuh namun perkara itu tidak disahkan.

Sementara itu laporan akhbar Berita Harian pula yang memetik sumber mendakwa pasukan keselamatan, yang menjalankan operasi pembersihan selepas pengeboman semalam, menjumpai antara 20 hingga 30 mayat musuh.

Sementara itu, akhbar The Star pula hari ini melaporkan pasukan tentera memindahkan penduduk dari dua buah kampung berdekatan - Kampung Labian dan Kampung Batu.

Penduduk tempatan sebelum ini mendakwa kumpulan penceroboh memasuki kawasan tersebut dan menawan penduduk.

Pasukan keselamatan, setakat malam tadi, masih belum menyatakan jumlah rasmi yang ditemui dalam operasi besar-besaran diketuai pasukan polis.

Ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar hari ini pula sekadar menyebut bahawa seorang penceroboh dipercayai maut selepas berbalas tembak dalam kawasan operasi pada kira-kira jam 6.45 pagi ini.

"Dengan situasi semasa ini pasukan keselamatan telah memperluaskan kawasan operasi sehingga melebihi 4 kilometer persegi sepertimana yang telah dinyatakan semalam," kenyataannya dipetik.

Ismail juga tidak memberi sebarang pengesahan mengenai status Azzumudie Kiram, yang dilaporkan terbunuh dalam operasi semalam.

Laporan mengenai kematian Azzimudie itu dinafikan media Filipina yang memetik kenyataan jurucakap kesultanan Sulu.

Menurut InterAksyon.com, portal berita dalam talian saluran TV Filipina TV5, jurucakap kesultanan Abraham Idjirani telah bercakap dengan Azzimudie melalui telefon di hadapan pemberita semasa taklimat media di Manila petang semalam.

Lapan buah pesawat tentera Malaysia semalam dilaporkan menggugurkan sekurang-kurangnya enam bom pemusnah di kawasan yang didakwa diduduki Azzimudie dan pengikutnya di Kampung Tanduo.

[Berita penuh menyusul]

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.