Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Phahrolrazi tak 'diculik' orang Azizan, cuma dinasihati

Timbalan Pesuruhjaya PAS I Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi tidak “diculik” atau ditahan bagi menghalangnya daripada berceramah di kawasan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Razak, yang dikaitkan dengan konflik dalaman parti.

Berbeza dengan laporan dua akhbar arus perdana semalam, sumber yang dekat dengan Phahrolrazi berkata, pemimpin kanan PAS negeri itu memilih untuk berada di Sekolah Agama Nahdzah dan tidak hadir berceramah di Sungai Limau, Yan setelah dinasihati rakannya.

NONE "Beliau (rakan Phahrolrazi) merasakan keadaan di tempat ceramah membahayakan keselamatan Phahrolrazi dan menasihatkan Phahrolrazi agar membatalkan hasratnya untuk ke tapak ceramah pada malam itu," kata sumber itu.

Rakannya itu juga merupakan pemimpin PAS kawasan.

Berita Harian semalam melaporkan "PAS Kedah bergolak" kerana Phahrolrazi (gambar) ditahan daripada menghadiri ceramah di kubu kuat Azizan ketika dalam perjalanan.

Manakala New Straits Times pula melaporkan persengketaan antara Azizan-Phahrolrazi semakin panas sehingga Phahrolrazi ditahan secara tidak sah oleh enam individu yang didakwa condong kepada menteri besar.

Menurut tuan rumah ceramah Zolkfley Ismail, kejadian berkenaan dilaporkan kepada kepada ibu pejabat polis daerah (IPD) Yan kira-kira jam 2 petang semalam.

Pergi 'mencukupkan syarat'

Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, sumber menjelaskan, Phahrolrazi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor berada di bilik orang kenamaan (VIP) sekolah itu sejam bermula jam 11 malam.

Beliau bagaimanapun tetap pergi ke tapak ceramah untuk bertemu penganjur bagi “mencukupkan syarat” memenuhi jemputan, tambah sumber itu lagi.

Phahrolrazi ketika dihubungi Malaysiakini semalam enggan mengulas laporan akhbar itu.

Sejak tahun lalu, dilapor berlakunya kemelut pentadbiran negeri apabila Phahrolrazi dan Dr Ismail Salleh, yang juga pesuruhjaya PAS III Kedah enggan dilantik semula sebagai exco kerajaan negeri.

Kedua-dua pemimpin PAS itu bertindak demikian dipercayai tidak berpuas hati dan kecewa dengan sikap serta kepemimpinan Azizan berhubung pelbagai isu yang melanda pentadbirannya.

Konflik itu memaksa kepimpinan PAS Pusat dan negeri mengadakan pertemuan khas - yang berlarutan sehingga jam 3 pagi - bagi menyelesaikan masalah itu sebelum mengarahkan kedua-duanya menerima semula jawatan tersebut.

Pertikaian Azizan-Phahrolrazi semakin panas susulan wujudnya ura-ura bahawa orang nombor dua PAS Kedah itu dikatakan tidak dinamakan untuk mempertahankan kerusi yang disandang, sebaliknya diletakkan di Parlimen Jerlun untuk menentang anak bekas perdana menteri Datuk Mukhriz Mahathir.

ADS