Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Universiti Islam Antarabangsa (UIA) akan menayangkan filem kontroversi 'Tanda Putera' sekali lagi kepada pelajaranya – kali ini di kampus Kuantan, Pahang pada malam esok.

Sumber di bahagian hal ehwal pelajar kampus berkenaan mengesahkan bahawa tayangan anjuran Pejabat Pengarah Kampus itu akan berlangsung di Dewan Utama di pejabat itu pada jam 9 malam esok.

 

"Ia diadakan secara tertutup kepada kakitangan dan pelajar sahaja," kata sumber yang enggan dinamakan, ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

 

Ditanya mengenai tujuan pihak universiti mengadakan tayangan tersebut, pegawai berkenaan enggan mengulas kerana "ia bukan dalam bidang kuasanya".

 

Beliau juga memberi alasan sama ketika ditanya sama ada majlis itu juga akan disertai dengan sesi soal jawab seperti tayang di kampus UIA Gombak pada 9 Mac lalu.

Tayangan berkenaan mendapat bantahan kumpulan pelajar pro-Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang mempersoalkan sekiranya ia bertujuan untuk mempengaruhi para pelajar bagi menyokong parti tertentu.

Presiden We Unite For Islam (Wufi) Abdul Muntaqim Abu Bakar berkata beliau mengesyaki demikian memandangkan promosi filem berkenaan dibuat secara tergesa-gesa ketika pilihan raya umum ke-13 semakin dekat.

"Kenapa ia ditayangkan dalam suasana dengan pilihan raya umum yang semakin hampir. Adakah mahu (mengajar) pelajar memilih parti tertentu dalam pilihan raya?" katanya.

 

Katanya, promosi untuk tayangan kali kedua untuk filem yang dilarang oleh jemaah menteri tersebut mula dikesan pada hari ini.

Filem berkenaan bagaimanapun mula ditayangkan dalam sesi tertutup bersama bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamd dalam satu program anjuran Felda pada pertengahan bulan lalu dan juga seterusnya dalam satu lagi majlis di UIA Gombak.

Dalam majlis bersama siswa UIA Gombak itu, seorang pegawai kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilaporkan turut memburuk-burukkan NGO BERSIH dan portal berita Malaysiakini selepas penayangan filem kontroversi Tanda Putera di kampus Gombak.

ADS