MP Umno cabar Anwar bertanding di Pontian

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan mencabar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kawasan parlimen Pontian yang diwakilinya.

Cabaran itu dilontarkan Ahmad Maslan sewaktu mengulas tindakan Pakatan Rakyat meletakkan beberapa tokoh untuk dicalonkan bertanding di kubu kuat Umno itu dalam pilihan raya akan datang.

"Kalau Anwar Ibrahim hendak bertanding di Pontian pun, silakan," kata Ahmad selepas majlis Himpunan Barisan 1Malaysia di Kuala Lumpur petang tadi.

Pakatan Rakyat sebelum ini mengumumkan MP popular DAP, Lim Kit Siang akan bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah.

Selain itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan ahli parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong juga dijangka diletakkan bertanding di kerusi Parlimen di negeri Johor.

Bercakap lanjut, Ahmad menegaskan bahawa Pakatan rakyat sebenarnya masih tidak faham politik Johor apabila menjangkakan pengundi Cina Johor akan mengundi calon DAP.

Menurutnya, rakyat Johor menerima calon BN tanpa mengira warna kulit mereka.

"Johor ini sebati dengan politik Umno BN," katanya.

Tegasnya lagi, Pakatan Rakyat bakal berhadapan saingan yang sengit dari Umno dan BN Johor.

"Cabaran mereka kita akan tentang dengan kesungguhan yang amat tinggi," katanya.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.