Pada 13 Okt lalu seorang wartawan kanan The Republic Media Network (The Republic Media) dari India — yang secara meluas dianggap bersimpati terhadap Perdana Menteri Narendra Modi dan partinya, Bharatiya Janata Party (BJP) — pergi ke Putrajaya untuk bertemu dengan Zakir Naik.

Pendakwah Muslim kelahiran India yang kini menetap di Malaysia itu masih merupakan individu yang dikehendaki di India. Dia berdepan dengan pelbagai tuduhan yang mencetuskan pertikaian undang-undang dan diplomatik berlarutan di antara Kuala Lumur dan New Delhi.

Wartawan tersebut, Anirudda Bhakat, mendakwa Zakir bersama rakan-rakan dan ahli keluarganya menduduki keseluruhan tingkat 21 sebuah blok kondominium di Putrajaya.

The Republic Media menyifatkan pertemuan di antara wartawan mereka dan pendakwah itu sebagai satu “operasi sulit” (sting). Perbualan mereka dipercayai dirakam secara rahsia, dan laporan yang menyusul kemudiannya menggambarkan Zakir sebagai pihak yang bersimpati terhadap parti pembangkang India, All India Congress Party, serta menyokong demonstrasi di New Delhi.

Demonstrasi tersebut dianjurkan oleh Cockroach Janta Party (CJP) iaitu sebuah gerakan politik satira yang diterajui oleh golongan belia dan kini berkembang menjadi kempen menentang kerajaan yang semakin meluar.

Baru-baru ini gerakan tersebut berada di barisan hadapan dalam protes berhubung dakwaan manipulasi daftar pemilih, selain menuntut peletakan jawatan ketua pesuruhjaya pilihan raya India.

Apabila ditanya oleh wartawan tersebut bilakah Zakir berhasrat untuk pulang ke India, personaliti itu secara terus-terang menyatakan tentang syarat yang perlu dipenuhi terlebih dahulu.

“Selepas BJP tiada lagi… Jika saya pulang sebelum itu (ketika BJP masih ada), saya tidak akan dapat keluar semula dari negara tersebut,” katanya.

Menyentuh mengenai tuduhan-tuduhan terhadapnya — termasuk dakwaan pengubahan wang haram dan kes berkaitan ucapan kebencian — pendakwah terbabit menegaskan bahawa yang dituduh terhadapnya adalah tidak berasas.

“Itu hanyalah tuduhan. Tak ada bukti,” kata Zakir.

Hentian seterusnya - Bangladesh

Dia juga memberitahu bersedia untuk memberikan keterangan kepada mahkamah melalui video namun pihak berkuasa India berkeras mahu personaliti terbabit hadir secara bersemuka.

“Jika saya hadir secara bersemuka, saya tidak akan dapat keluar semula…

"Saya hanya akan kekal di dalam (penjara), mereka tidak akan memberikan saya perbicaraan yang adil,” tambahnya.

Menyentuh mengenai protes yang melanda India, Zakir melontarkan pandangan bahawa kemarahan orang ramai yang semakin memuncak bakal membawa masalah kepada BJP yang menjadi kerajaan sekarang.

“Saya tidak fikir BJP akan bertahan sehingga pilihan raya akan datang. Jika bertahan pun, ia tidak akan menang (pilihan raya tersebut). Insya-Allah.

"Pilihan raya dijadualkan pada 2029 tetapi mereka mungkin tumbang lebih awal... Mungkin tahun depan,” katanya.

Anirudda Bhakat.

Apabila ditanya jika dia berharap Kongres akan kembali berkuasa, Zakir berkata parti yang dipimpin oleh Rahul Gandhi itu lebih baik jika dibandingkan dengan BJP.

Namun, dia tidak memberikan sokongan tanpa syarat terhadap kepimpinan Rahul, dengan menyifatkan ahli politik berkenaan sebagai seseorang yang belum lagi “matang atau berpengalaman”.

“Tetapi dia lebih baik daripada Modi. Dia seorang yang jujur, tidak korup, dan tidak menipu," katanya.

Zakir juga berpendapat keadaan India ketika ini berada dalam keadaan yang sangat buruk dari segi segi ekonomi dan kewangan apabila berdepan dengan masalah kadar pengangguran yang terlalu tinggi.

Milai mata wang rupee pula, tambahnya, susut dengan ketara.

Menjelang akhir perbualan itu, Zakir memberitahu wartawan terbabit dia akan menyampaikan ceramah seterusnya di Bangladesh tidak lama lagi.

Tidak dapat dipastikan sama ada pendakwah itu menyedari atau tidak dia sedang bercakap dengan seorang wartawan memandangkan butiran mengenai pertemuan mereka tidak dijelaskan.

Rahul Gandhi.

Zakir diberikan status penduduk tetap Malaysia pada 2015 selepas berpindah ke negara ini semasa tumpuan ke atasnya di India begitu tinggi terkait aktiviti wadahnya, Islamic Research Foundation, yang diisytiharkan pertubuhan menyalahi undang-undang oleh pihak berkuasa India pada 2016.

Pihak berkuasa India kemudiannya mengemukakan dakwaan pengubahan wang haram terhadap Zakid dan menuntut dia diekstradisi.

Pada 2018, perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, mempertahankan keputusan Malaysia untuk tidak menghantar Zakir pulang ke India atas alasan Kuala Lumpur berhak untuk menolak permohonan ekstradisi.

Pendirian kerajaan pada masa itu ialah Zakir dibenarkan kekal selagi tidak menimbulkan masalah di Malaysia.

Bulan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan dia telah membincangkan isu ekstradisi Zakir dengan wakil-wakil dari India.

Menurut portal berita India, New Delhi Television, Anwar mengesahkan bahawa perbincangan mengenai perkara itu telah diadakan secara “peribadi” yang dipercayai berlangsung di New Delhi.

“Kami berpendapat perkara ini wajar dirahsiakan demi menjaga kepentingan kedua-dua negara. Namun, kami sememangnya meletakkannya sebagai keutamaan dalam usaha membina kepercayaan serta hubungan antara negara kami,” katanya seperti dipetik.

Dia menambah sebarang tindakan berhubung permintaan ekstradisi daripada India perlu dilaksanakan dengan “sangat berhati-hati”, serta dengan cara yang menghormati kedaulatan undang-undang dan kepentingan hubungan dua hala.