Ambiga marah polis siasat peguam kes Noorizwan
Apabila bekas presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan membaca laporan Malaysiakini bahawa polis menyoal siasat peguam selama lebih tiga jam berhubung kematian dalam tahanan melibatkan Noorizwan Zulkefly, reaksinya spontannya tanpa berselindung.
"Saya sangat marah," katanya menerusi mesej teks.
Bagaimanapun, kemarahan Ambiga bukan sekadar berpunca daripada tindakan soal siasat peguam tersebut. Dia menegaskan perkara yang jauh lebih asas kini terancam kerana ia melibatkan kedaulatan undang-undang dan usaha menuntut keadilan.
Dalam kenyataan susulan kepada Malaysiakini, dia mengingatkan kerajaan bahawa "setiap masyarakat bertamadun dibina atas dasar mencari kebenaran".
Dia tidak berlapik kata mengenai pentadbiran Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, sambil menyifatkan perkembangan terkini ini sebagai "tahap terendah baharu".
Dia menjelaskan bahawa Malaysia pernah menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) beberapa kali, namun layanan terhadap peguam serta isu kematian dalam tahanan yang berterusan nyata bercanggah dengan prinsip sejagat yang sepatutnya ditegakkan oleh majlis berkenaan.
"Dalam kata lain, kita lebih tahu, tetapi kita tidak berbuat lebih baik. Kita tidak pernah melakukannya.
“Pemimpin kita mencari kredibiliti di mata dunia tetapi tidak peduli tentang kredibiliti mereka di negara sndiri. Sudah masanya mereka berbuat demikian," tambahnya.
Tindakan mencurigakan
Lawyers for Liberty (LFL) pada Selasa mendedahkan bahawa pengasasnya, Latheefa Koya dan N Surendran, bersama Dina Zamri yang mewakili keluarga Noorizwan, disiasat atas dakwaan mendesak Hospital Canselor Tuanku Muhriz menyerahkan foto bedah siasat yang merakamkan 21 kecederaan ngeri pada tubuh mangsa.
Bagi Ambiga, implikasi tindakan itu amat membimbangkan.
Dia menegaskan bahawa hak seseorang peguam untuk membela anak guam secara tegas dan mencari kebenaran dalam menjalankan tugas profesional adalah suci serta amat penting kepada kedaulatan undang-undang.
/file/attachments/orphans/453234432234324_895682.png)
"Sistem keadilan tidak boleh berfungsi jika nilai-nilai ini tidak dihormati. Malah, tindakan oleh pihak berkuasa ini hanya menimbulkan lebih banyak keraguan berhubung kematian dalam tahanan ini.
"Saya tidak akan mengulangi perkara-perkara mencurigakan mengenai kes ini yang tidak boleh dan tidak sepatutnya didiamkan," tambahnya.
Ambiga berkata apabila sasaran siasatan ialah peguam yang bertindak bagi pihak keluarga si mati dalam mencari kebenaran, dan bukannya kes kematian dalam tahanan itu sendiri, ada sesuatu yang tidak kena.
"Ini bermakna kes ini mesti diberikan penelitian yang lebih mendalam," katanya.
Sambil menggesa Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail bertanggungjawab atas tindakan yang disifatkannya sebagai tidak pernah berlaku sebelum ini dan memastikan siasatan segera dilakukan ke atas keadaan kejam kematian Noorizwan, Ambiga memberi amaran bahawa tindakan menyasarkan peguam hanya akan memburukkan lagi keraguan awam.
Dia berkata tindakan sedemikian akan "menguatkan tanggapan bahawa ada sesuatu yang tidak kena berlaku di tempat tahanan kita yang cuba disembunyikan tergesa-gesa, sekali lagi."
Siasatan 'tidak masuk akal'
Dalam kenyataan pada 22 Okt, pengarah LFL, Rania Aljunied berkata Latheefa, Surendran dan Dina disoal siasat berhubung kunjungan keluarga Noorizwan bersama peguam mereka ke unit patologi hospital bagi mendapatkan penjelasan mengenai bukti perubatan daripada bedah siasat tersebut.
"Sejak bila ini menjadi satu kesalahan jenayah di Malaysia?" soalnya.
Rania berkata siasatan itu hampir tidak masuk akal, sambil menambah dua pegawai kanan Bukit Aman turut hadir semasa keluarga dan peguam meminta taklimat mengenai tahap kecederaan Noorizwan serta memohon untuk melihat foto bedah siasat berkenaan.
Menurutnya, pakar patologi bersetuju dengan permintaan mereka.
/file/attachments/orphans/1312412312312_526005.png)
"Siasatan ini menyalahi undang-undang, kuku besi, dan mengganggu tugas peguam yang bertindak untuk anak guam mereka," kata Rania.
Dia menegaskan jika keluarga dan peguam tidak mendesak supaya foto-foto itu didedahkan, orang ramai mungkin tidak akan mengetahui tahap sebenar kecederaan yang dialami Noorizwan.
Sehari selepas LFL mendedahkan foto berkenaan, Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus berkata pegawai penyiasat sedang menunggu laporan penuh Jabatan Kimia serta keputusan rasmi patologi sebelum melengkapkan siasatan mereka.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/c0a516f68a0a056adb3d37b3f6699a22.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.