Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Parti Hak Asasi (HRP) akan meletakkan calon bebas mereka di tiga kerusi parlimen dan lima kerusi DUN yang dikuasai PKR dan PAS di Selangor.

Bendahari HRP, A Sugumaran dalam satu sidang media hari ini mengumumkan, parti itu akan bertanding di kerusi parlimen Kota Raja, Kelana Jaya dan Kuala Selangor.

Lima kerusi DUN yang akan ditandingi calon HRP dalam kawasan parlimen tersebut ialah Seri Andalas, Sri Muda, Seri Setia, Bukit Melawati dan Ijok.

"Calon kami bagi P111 Kota Raja dan N49 Seri Andalas adalah pemimpin (HRP) iaitu P Uthayakumar," kata Sugumaran.

Uthayakumar dalam sidang media sama kemudiannya berkata, kawasan parlimen Kota Raja terdiri daripada kira-kira 29 peratus pengundi India yang dijangka akan menyokong Hindraf.

Beliau juga menjangka undi dari 44 peratus pemilih Melayu terbahagi kepada dua di antara Pakatan Rakyat dan BN.

Uthayakumar juga yakin akan dapat memenangi kerusi berkenaan sekiranya jika beliau mampu meraih undi semua pemilih India dan sebahagian daripada pemilih Cina.

Uthayakumar berkata kawasan itu dianggap sebagai kerusi selamat kerana tidak melibatkan kawasan rancangan Felda atau kumpulan masyarakat Orang Asli yang disifatkannya sebagai deposit tetap BN.

Menurutnya lagi, HRP akan menggunakan tema 'Hantar MP pertama Hindraf ke Parlimen' dalam kempennya kelak.

Beliau dan percaya kehadirannya di Parlimen akan mampu menangani masalah kemiskinan dan isu masyarakat India yang tidak memiliki taraf kerakyatan.

"Jika saya ada kuasa, saya akan mampu lakukan bayak perkara tetapi selama ini apa yang saya mampu lakukan adalah menonjolkan masalah ini sahaja," katanya.

Uthayakumar dianggap sebagai pemimpin tidak rasmi Hindraf semenjak kumpulan pendesak itu mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran pada 2007.

Parti HRP yang diketuainya itu merupakan satu percubaan untuk menggerakkan Hindraf sebagai satu pertubuhan politik tetapi sehingga kini ia masih gagal didaftarkan.

ADS