Pelaksanaan GST tambah RM27b pada pendapatan M'sia

Malaysia akan dapat menambah pendapatan sebanyak hingga RM27 bilion jika cadangan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak tujuh peratus dilaksanakan seperti di negara jiran, Singapura.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, berkata mekanisma pencukaian baru itu boleh menjamin pendapatan tambahan sebanyak RM20 bilion hingga RM27 bilion, apabila matang.

"Tahap matang ialah apabila setiap penduduk Malaysia mula menyumbang ke arah GST. Ia mestilah dilaksanakan sebaik sahaja penduduk Malaysia bersedia menerima mekanisma itu," tegas beliau.

Bercakap pada forum "GE13 - What it means for business? (PRU13 - Apa Ertinya bagi Perniagaan?)" di sini hari ini, Jala berkata pendidikan tentang GST dan bagaimana ia memberi faedah kepada ekonomi negara amat penting, dan juga agar warga Malaysia faham dan menerima mekanisma pencukaian itu nanti.

Beliau juga berkata GST akan menjana dana tambahan bagi kerajaan untuk dibelanjakan bagi kesejahteraan rakyat Malaysia, seperti apa yang dijanjikan dalam manifesto Barisan Nasional sebelum pilihan raya umum ke-13.

"Walaupun satu cukai baharu diperkenalkan, namun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberikan komitmen untuk menurunkan cukai korporat dan juga cukai pendapatan peribadi.

"Ini menunjukkan kerajaan mahukan keseimbangan dalam setiap langkah yang diambilnya, sama ada dari sudut ekonomi mahupun politik," kata Jala yang menerajui Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).

Sementara itu, beliau menafikan dakwaan bahawa janji-janji yang dibuat oleh kerajaan sebelum pilihan raya akan meningkatkan nisbah hutang berbanding keluaran dalam negara kasar (KDNK), daripada 53 peratus sekarang.

Beliau berkata kerajaan komited untuk mengekalkan hutangnya di bawah paras 55 peratus berbanding siling KDNK yang telah ditetapkannya sebelum ini.

"Pada Forum Ekonomi Dunia di Davos, apabila saya mencadangkan mekanisma Malaysia yang menetapkan 55 peratus sebagai siling bagi nisbah hutang berbanding KDNK, ramai pakar ekonomi dan pemimpin dunia berkata itu mustahil.

"Ini adalah kerana Malaysia amat unik sebab hutangnya masih di bawah paras 55 peratus," kata Jala sambil menyebut contoh negara-negara seperti Singapura (nisbah hutang berbanding KDNK 100 peratus), United Kingdom (80 peratus) dan Perancis (81 peratus).

Di samping mendakwa matlamat negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 boleh dicapai malah dua tahun lebih awal, memandangkan usaha ekonomi kerajaan dan sektor swasta yang menyeluruh, Jala berkata Malaysia berada di landasan yang teguh untuk mencatatkan lebihan belanjawan menjelang 2020.

Kata beliau dalam empat tahun kebelakangan ini dengan Najib sebagai Perdana Menteri, defisit belanjawan negara menunjukkan penyusutan yang ketara tahun demi tahun, dan memberikan jaminan bahawa rekod pencapaian ini akan berterusan.

"Tahun lepas, defisit belanjawan ialah 4.5 peratus, dan tahun ini kita menjangka ia susut kepada empat peratus. Dengan segala usaha yang diambil, saya pasti harinya akan tiba apabila kita boleh mencapai lebihan belanjawan itu," tegas beliau.

Mengenai peranan kerajaan dalam perniagaan, Jala berkata ia akan beransur-ansur keluar dari lebih banyak perniagaan tahun ini dan pada masa akan datang.

Melalui Peranan Kerajaan dalam Perniagaan (GRIB), kata beliau, kerajaan telah pun mengurangkan, malah menarik keluar kepentingannya dalam 13 syarikat, daripada 33 entiti yang dikenal pasti oleh Pemandu.

"Kita mengadakan mesyuarat bulanan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan dihadiri oleh semua ketua syarikat yang berkaitan mengenai perkara ini.

"Kerajaan berhasrat menghentikan peranannya dalam perniagaan. Tetapi ini tidak boleh dilakukan dalam masa sehari. Akan ada lagi perniagaan yang melibatkan peranan kerajaan, disebabkan kepentingannya dalam kehidupan harian rakyat Malaysia," tegas Jala.

-Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.