Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Balas pengorbanan Melayu, guna BM'
Diterbitkan:  Jun 19, 2013 5:57 PM
Dikemaskini: Jun 20, 2013 2:38 AM

Bekas hakim kontroversi Datuk Mohd Noor Abdullah menggesa orang bukan Melayu agar membalas pengorbanan orang Melayu yang merelakan bahasa mereka ditulis dalam skrip Rumi demi perpaduan kebangsaan.

Menurutnya, bahasa Melayu pada asalnya ditulis dengan huruf Jawi tetapi bagi memastikan ia mudah dipelajari semua kaum sebagai bahasa kebangsaan, orang Melayu merelakan ia ditulis dengan huruf Rumi.

NONE "Pengorbanan ini perlu dibalas orang bukan Melayu dengan belajar bahasa Melayu, dan menggunakan bahasa Melayu setiap hari," kata Mohd Noor ( kanan ) dalam syarahannya di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, orang Melayu merelakan penukaran skrip itu walaupun ia berkemungkinan menjauhkan orang Melayu daripada al-Quran dan hadis.

"Kalau tulisan bahasa Melayu (dalam) Jawi, bagaimanakah orang Cina, India hendak belajar bahasa kebangsaan dalam Jawi? Oleh itu, bahasa Melayu menggunakan skrip atau tulisan Rumi.

"Ini adalah satu pengorbanan orang Melayu kerana apabila orang Melayu membenarkan bahasa kebangsaan itu menggunakan Rumi, maka jauhlah orang Melayu daripada tulisan Jawi, Al-Quran dan hadis yang semuanya menggunakan tulisan Jawi.

"Demi perpaduan, orang Melayu sanggup mengubah Rumi ke dalam bahasa Melayu," katanya.

Ulang pendirian

Beliau turut mengulangi pendiriannya sebelum ini yang melihat kewujudan sekolah jenis kebangsaan Tamil dan Cina sebagai tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, sekolah tersebut perlu ditukar menjadi sekolah kebangsaan.

Langkah itu katanya, bagi memastikan bahasa Melayu berkembang dengan baik dalam urusan rasmi dan tidak bersaing dengan bahasa Cina dan Tamil yang turut diguna pakai sebagai medium pendidikan di sekolah.

Beliau berkata demikian sewaktu "Syarahan Percambahan Minda: Kedudukan Sekolah Vernakular dari Perspektif Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan" anjuran Kelab Wartawan Muda Malaysia.

Dalam sidang media seusai acara itu, Mohd Noor tidak mahu lagi mengulas kenyataannya sebelum ini berkenaan 'kebangkitan' orang Melayu akibat 'pengkhianatan' orang Cina.

"Biarlah ia berlalu, jangan terus 'serang' saya untuk buat orang pandang sebagai seorang yang tidak layak menjadi hakim (sebelum ini)," katanya yang kini mahu dikenali sebagai 'Hakim Perpaduan'.

ADS