ADUN Kuala Besut meninggal dunia

Seorang anggota Exco kerajaan negeri Terengganu Dr A Rahman Mokhtar meninggal dunia hari ini, tujuh hari selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Laporan Bernama menyebut, A Rahman, 55, meninggal dunia pada jan 10.18 pagi ini akibat kanser paru-paru di hospital berkenaan di Kuala Terengganu.

azlan

Laporan itu memetik kenyataan Pengarah Kesihatan Terengganu Datuk Dr Anwa Sulaiman yang mengesahkan perkara itu.

"Pagi ini keadaannya semakin kritikal sehingga terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan dan disahkan meninggal pukul 10.18 pagi ini di HSNZ," katanya Anwa seperti dipetik Bernama.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kesihatan, Wanita dan Masyarakat negeri Terengganu itu meninggalkan seorang balu dan empat anak.

Jenazah dijangka  dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Teluk Bayu Kuala Besut selepas solat Zohor hari ini, lapor agensi berkenaan.

Satu pilihan raya kecil dijangka akan diadakan ekoran kematian ADUN Kuala Besut itu, yang meninggal dunia hanya beberapa minggu selepas pilihan raya umum 5 Mei.

Dalam pilihan raya tersebut, A Rahman menewaskan calon PAS Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

Kawasan berkenaan terdiri daripada lebih 17,000 pengundi, yang mana 99 peratus daripadanya terdiri dari pengundi Melayu.

BN berjaya membentuk kerajaan negeri apabila berjaya meraih 17 daripada 32 kerusi yang dipertandingkan.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.