KOLUM | Bergabung menolak rasuah dan perasuah besar atau kecil
KOLUM | Awal tahun ini, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, menzahirkan kebimbangan baginda terhadap gejala rasuah yang dilihat semakin berleluasa dan amat membimbangkan.
Bukan itu sahaja, baginda turut kecewa apabila ada dalam kalangan kita yang menyokong pihak yang sudah disabitkan rasuah di mahkamah.
“[…] seolah-olah perbuatan itu boleh diterima dan dimaafkan,” titah Tuanku Muhriz semasa istiadat melibatkan baginda.
Bukan itu sahaja Tuanku Muhriz menyatakan, mereka yang masih menyokong penjenayah seperti itu wajar segera bermuhasabah diri serta menilai semula pendirian dan kepercayaan masing-masing.
Baginda menegaskan sebarang bentuk toleransi atau kompromi terhadap rasuah adalah bertentangan dengan prinsip kebenaran, keadilan serta amanah dan sama sekali tidak boleh diterima dalam sebuah negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang.
Beberapa minggu sebelum itu – pada penghujung Dis 2025 – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Najib Razak bersalah atas semua empat pertuduhan salah guna kuasa dan kesemua 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan dana 1MDB.
Najib, untuk rekod, sebelum itu telahpun didapati bersalah oleh mahkamah atas tuduh pertuduhan melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Justeru hakim memutuskan bekas perdana menteri itu dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022 mengekalkan sabitan dan hukumannya.
Najib bahkan mula menjalani hukuman di Penjara Kajang sesudah itu.
Kesan amat dahsyat menanti negara
Titah Tuanku Muhriz pada pertengahan Jan lalu agar pesalah rasuah tidak dikasihani itu adalah nasihat sekali gus penawar, perisai dan nampaknya menjadi pembukaan kepada 2026 yang sepatutnya gemilang buat Malaysia.
Akan tetapi tiba-tiba, 2026 menjadi tahun bergelora. Mana tidaknya, pada 19 April, satu perisytiharan dibuat untuk menurunkan Tuanku Muhriz daripada jawatan Yang di-Pertuan Besar (Yamtuan Besar) Negeri Sembilan.
Sejak itu, tidak sudah-sudahlah seteru baginda mengganggu dan melakukan onar.
Pada 18 Sept pula Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memperkenankan pengampunan bersyarat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, untuk membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.
Dia – terrtakluk kepada bayaran denda RM50 juta – akan berada di kediamannya itu sehingga 23 Ogos 2028.
Tidak dapat dipastikan apakah insiden itu saling bertalian. Pun begitu, yang boleh saja fikirkan mengapakah Tuanku Muhriz – seorang raja yang berpelajaran dan memahami undang-undang – nampaknya begitu tegas dan sangat memusuhi perasuah.
Rasuah membawa kesan yang amat dahsyat untuk negara dan masyarakat.
Ia telah dikupas oleh Prof Syed Hussein Alatas dalam bukunya yang sangat terkenal dan menjadi rujukan hingga ke negara luar, Rasuah Sifat, Sebab Dan Fungsi.

Menurut Syed Hussein, apabila seorang yang berjawatan tinggi mengamalkan rasuah, mereka akan mencurahkan sepenuh masa dan tenaga mereka untuk memikirkan jalan-jalan yang boleh dicapai untuk melakukan rasuah, dan tidak lagi berkhidmat dengan benar.
Menurut sosiologis terkemuka itu lagi, rasuah hanya akan menyebabkan pengabaian kepada kesejahteraan rakyat selain mempengaruhi produktiviti masyarakat sehingga mengakibatkan masalah ekonomi rakyat menjadi lebih parah.
Ada banyak kesan ekoran rasuah. Saya yakin Tuanku Muhriz yang rajin membaca itu telahpun menganalisis hal tersebut.
Apabila rasuah dibenarkan atau tidak dipedulikan di peringkat tertinggi, metastatis akan terjadi, yakni menyebar ke pusat-pusat penting pentadbiran kerajaan yang mempunyai pengaruh besar terhadap masyarakat.
Misalnya, dalam urusan polis, kastam, penjagaan sempadan dan macam-macam lain. Syed Hussein turut menyatakan bahawa “...metastatis yang paling bahaya dalam konteks dewasa ini ialah yang muncul dari dalam kabinet. Di Malaysia, kabinet dan pejabat menteri-menteri besar boleh merupakan sumber metastatis dalam rasuah.”
Buat jahat yang dahsyat tapi dipuja-puja
Rasuah juga membuka jalan kepada perkomplotan apabila pihak atasan bekerjasama untuk “membuka jalan bagi rasuah-rasuah yang lain dan keduanya, kerana adanya keuntungan bersama yang timbul daripada berkomplotan, maka kecenderungannya berkembang.”
Kesan komplot itu akan mengakibatkan rakyat rugi. Perniagaan dibolot dan jatuh ke tangan pihak tertentu sahaja. Projek membazir dan terbengkalai akan berlaku lantaran rasuah membawa kepada kesan pelenyapan potensi apabila “rasuah mengalihkan tujuan dan nilai dan melenyapkan alternatif-alternatif berpotensi.”
Menurut beliau lagi rasuah seperti itu biasanya berkisar pada projek-projek awam seperti pembinaan lebuh raya yang pendek tetapi menelan kos luar biasa besarnya.
Projek-projek membazir sebegitu, menurut beliau, amat subur dalam masyarakat yang rasuah. Perbelanjaan yang besar akibat rasuah sebenarnya hanya membebankan masyarakat dan menghilangkan alternatif yang bermanfaat dan lebih baik.
Dalam kempen PRN Melaka sekarang, ada banyak pertanyaan daripada masyarakat. Misalnya, mengapakah banyak projek mega di Melaka terbengkalai atau tidak disiapkan?
Dalam hal lain, fasa satu Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah yang bermula sejak 2015/2016 juga belum siap sepenuhnya selepas lebih 10 tahun.
Ia adalah suatu kelewatan kritikal dengan laporan mendedahkan terdapat sembilan pakej kerja berada dalam kategori "sakit".
Tahap kemajuan keseluruhan juga rendah. Adakah itu semua lantaran isu yang kita bicarakan ini?
Satu lagi kesan dahsyat rasuah adalah transmutasi iaitu perubahan tanggapan masyarakat ke atas kejahatan.
/file/attachments/orphans/eyesandmouthclosedcorruption_882191.png)
Menurut Syed Hussein, oleh sebab rasuah dilonggarkan dan dimaafkan, maka terjadi “...kedurjanaan ditransmutasi menjadi penghormatan dan penerimaan masyarakat.”
Misalnya, seorang penjenayah yang melakukan kejahatan dahsyat tetapi tetap dipuja-puja dan dihargai oleh masyarakat.
Kesan transmutasi meletakkan pengaruh personaliti tokoh-tokoh rasuah pada satu keadaan yang berupaya mendapat penghormatan daripada masyarakat sehingga kejahatan-kejahatan yang dilakukannya terselimut.
Saya percaya inilah yang amat dirisaukan oleh Tuanku Muhriz sehingga titah baginda itu terpusat khusus mengenai rasuah, gejalanya, kesannya, dan usaha atau gerakan untuk memutihkan penjenayah terbabit.
Di Nigeria, kata Syed Hussein, manifestasi kesan transmutasi boleh dilihat melalui pameran kekayaan, lagu-lagu pemujaan dan kesukaan mengampu. Orang kaya dan orang yang mempunyai kuasa dijadikan objek pemujaan.
Nampaknya ia telah menjangkiti Malaysia.
Prof itu turut menyentuh bagaimana rasuah mengakibatkan kesan ekonomi yang kronik. Hal itu kerana adalah jelas rasuah akan melibatkan kita selaku rakyat biasa. Kesan dan beban rasuah terpaksa kita tanggung.
Elak terjunam ke dalam jurang
Kata Syed Hussein, “Urus niaga yang tidak terkira banyaknya yang dilakukan rakyat sehari-hari memberi hasil jutaan kepada mereka yang rasuah.”
Tambahnya, akan berlaku kenaikan harga barang yang bertujuan menutup kos rasuah lantas menekan rakyat sehingga taraf hidup masyarakat merosot. Impaknya terhadap rakyat yang sedia miskin dan berpendapatan rendah ialah kedaifan yang lebih besar.
Penahanan Najib di rumah memang kontroversi. Nampaknya apa yang dituliskan oleh Syed Hussein itu telah berlaku. Saya tidak pasti apakah itu yang dimaksudkan oleh Tuanku Muhriz.
Juga, apa yang dititahkan oleh baginda pada awal tahun ini adalah tepat, benar, sahih, sejajar dengan Islam, tidak menyalahi adat dan fitrah manusia, bertamadun justeru tidak bodoh atau bebal.
Justeru, menjadi kewajipan untuk rakyat bergabung di belakang Tuanku Muhriz untuk menolak rasuah, perasuah dan penjenayah rasuah. Bersama untuk menyelamatkan maruah dan masa depan negara ini daripada terjunam ke jurang celaka.
Para sarjana, profesor, emeritus, emerita, prof ulung tak ulung; terpuji tidak terpuji; semuanya harus bergabung dalam membanteras rasuah.
Baginda adalah ketua avengers kita yang jelas.
Kita jaga kita, dan persetankan rasuah dan penjenayahnya.
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, merangkap anak buah dari suku Tiga Batu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Lapor komen ini
/file/attachments/889/StringsofControl_598185.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.