Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'90% jenayah di S'gor dilakukan bekas tahanan EO'
Diterbitkan:  Jul 11, 2013 1:51 PM
Dikemaskini: 9:26 AM

VIDEO

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata satu kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa sebahagian besar kegiatan jenayah dilakukan oleh bekas tahanan Ordinan Darurat (EO).

Malah, statistik jenayah di Selangor menunjukkan 90 peratus daripada jenayah didalangi bekas pesalah yang dibebaskan sewaktu EO dimansuhkan, katanya dalam satu sidang media pagi ini.

"Saya dapat statisitik yg dibuat secara empirikal, di Selangor 90 peratus jenayah berat terancang dilakukan oleh bekas tahanan yang ditahan dahulunya di bawah EO," kata Zahid.

Katanya, beliau juga akan membentangkan statistik dari kajian itu secara lengkap dalam sidang Parlimen akan datang.

"Saya akan bentangkan statistik dan kajian ini di Dewan Rakyat dalam sesi akan datang, sesi September ini untuk membuktikan EO ini perlu," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu ditanya mengenai kewajaran untuk mengembalikan akta seperti itu memandangkan statistik polis mencatatkan penurunan ketara kadar jenayah, seperti yang diumumkan kerajaan pada 2011.

Isu berkenaan timbul apabila Zahid pada 4 Julai lalu menyatakan bahawa kementeriannya akan merangka draf undang-undang baru bagi menggantikan EO.

Zahid berkata demikian susulan kenyataan polis sebelum itu, yang mengaitkan peningkatan kadar jenayah berat dengan pembebasan lebih 2,600 tahanan bawah EO apabila undang-undang tersebut dimansuhkan pada 2011.

Perkara itu bagaimanapun dipersoalkan MP DAP Tony Pua yang berkata kerajaan tidak sepatutnya mengaitkan peningkatan kadar jenayah dengan pemansuhan EO.

Pua dalam kenyataannya semalam berkata, pasukan polis tidak mengemukakan sebarang bukti bagi menyokong dakwaan bahawa peningkatan kadar jenayah itu berpunca dari pembebasan penjenayah yang sebelum ini ditahan bawah EO.

Malah statistik jenayah juga menunjukkan bahawa kejadian jenayah meningkat dengan agresif ketika EO berkuatkuasa, katanya.

Sementar5a itu, Zahid dalam sidang medianya hari ini juga berkata, laporan jawatankuasa siasatan BERSIH 3.0 oleh bekas ketua polis negara, Tun Hanif Omar yang diserah kepada beliau semalam akan dikemukakan kepada kabinet untuk tindakan lanjut.

"Kami akan mengemukakan laporan itu kepada jemaah menteri (untuk menentukan) sama ada laporan itu boleh diedarkan kepada orang ramai untuk mereka mengetahui apakah dapatan daripada laporan kajian itu," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS