Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Siasat kes Vivian, Alvin ikut Akta Hasutan
Diterbitkan:  Jul 16, 2013 11:27 AM
Dikemaskini: 3:47 AM

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata beliau mahu kes penghinaan Islam di Internet seperti dilakukan pasangan Alvin Tan Jye Yee dan Vivian Lee disiasat mengikut Akta Hasutan atau di bawah Kanun Keseksaan.

Shabery dalam satu laporan Utusan Malaysia berkata, beliau akan membawa isu penghinaan ke atas Islam tersebut ke Kabinet kerana perbuatan seperti itu kini sudah melampau.

Selain tindakan Alvin dan Vivian, perbuatan menghina agama Islam seperti itu juga dikesan berlaku dalam “beratus lagi laman web”, kata Shabery seperti dilaporkan akhbar milik Umno itu.

Beliau juga mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta pasukan polis mengambil tindakan dan memastikan pihak terbabit dihadapkan ke mahkamah.

“Saya bimbang penyalahgunaan ke atas media sosial kerana sudah ke tahap terlalu melampau dan jika berterusan boleh menjejaskan keharmonian antara kaum.

"Kes sebegini bukan hanya melibatkan Alvin Tan Jye Yee,25 dan Vivian Lee 24, tetapi beratus lagi laman web.

“Dalam kes Alvin dan Vivian, SKMM sudah mengambil keterangan tetapi saya fikir kes ini harus ditangani mengikut Akta Hasutan atau di bawah Kanun Keseksaan bukan setakat Akta Komunikasi dan Multimedia," katanya lagi dalam laporan tersebut.

Alvin dan Vivian yang pernah mencetuskan kontroversi video lucah mereka di Singapura sebelum ini, memuat naik gambar sedang menikmati hidangan bak kut teh di Facebook, Jumaat lalu dengan kapsyen:

"Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh (sup tulang babi)...wangi, enak dan menyelerakan."

Mereka juga meletakkan logo halal pada gambar berkenaan.

Tindakan itu mengundang kemarahan pelbagai pihak, terutamanya umat Islam di negara ini atas dakwaan memperolokkan kesucian Islam dan bulan Ramadan.

Beliau juga mendakwa, pemimpin Pakatan masih belum menyatakan kritikan ke atas perbuatan seperti itu, kata Shabery lagi dalam laporan akhbar milik Umno itu.

“Sebab itu kritikan dan kutukan masyarakat tanpa mengira ideologi terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja menghina kesucian agama seperti dilakukan pasangan Alvin dan Vivian ini penting untuk menyedarkan masyarakat bahawa gejala seperti itu ditolak rakyat Malaysia.

“Namun saya juga pelik kerana sehingga kini tiada sebarang kritikan daripada pemimpin pembangkang khususnya PKR dan DAP walaupun jelas perbuatan biadab itu boleh mengundang kepada insiden pergaduhan kaum," katanya seperti dipetik akhbar berkenaan.

Tindakan pasangan berkenaan menerima antara lainnya dikritik oleh setiausaha agung DAP Lim Guan Eng yang berkata perbuatan Alvin dan Vivian itu memalukan dan melampau.

Laporan The Malaysian Insider semalam, yang memetik kenyataan Lim, menyebut bahawa kedua-dua individu berkenaan wajar dihukum.

"(Perbuatan) itu salah. Mereka patut dihukum, tiada sangsi lagi," katanya yang menambah perbuatan berkenaan tidak menggambarkan sikap rakyat Malaysia.

 

ADS